Mo Farah tidak akan mengambil bahagian dalam perlumbaan 10,000 meter lelaki dalam Sukan Olimpik Tokyo, setelah pemenang pingat emas empat kali itu gagal melepasi masa kelayakan.

Farah, yang menang pingat emas dalam acara 10,000m dan 5,000m bagi edisi London 2012 dan Rio 2016, perlu mengatasi catatan 27 minit 28 saat untuk layak.

Di sebalik memenangi acara 10,000m dalam Kejuaraan British, Farah melakukan catatan 27:47:04s -- rekod stadium di Manchester Regional Arena tetapi tidak cukup untuk kelayakan Olimpik.

Farah bergelut dengan kecederaan buku lali yang menghimpit percubaannya dalam kelayakan Olimpik di awal bulan ini, namun dia dilaporkan bebas daripada masalah itu menjelang acara di Manchester.



"Saya menikmati karier yang menakjubkan," kata Farah.

"Ia agak sukar -- jika saya gagal bersaing dengan yang terbaik, saya tidak akan berjaya menamatkan saingan di final. Hari ini saya gagal menampilkan larian yang terbaik.

"Cuaca agak berangin, saya telah cuba melakukan yang terbaik, saya mengetahui saya bersendirian dalam perlumbaan ini.

"Sangat mengagumkan apabila mempunyai penonton kembali ke balapan. Itu sahaja yang dapat anda lakukan sebagai manusia: anda memberikan yang terbaik.

"Saya cukup bernasib baik kerana mempunyai karier yang panjang. Saya sangat bersyukur tetapi itu sahaja yang saya dapat lakukan hari ini."

Farah memberikan tumpuan kepada perlumbaan jalan raya selama tiga tahun sebelum ini, walaupun berharap dapat kembali ke trek untuk dalam saingan Olimpik.