Sekalipun tewas 4-9 kepada Taiwan dalam perlawanan persahabatan semalam, skuad hoki ais negara tetap memperagakan aksi membanggakan, apatah lagi ia merupakan perlawanan pertama mereka untuk tahun ini.

Kemenangan bukanlah matlamat utama jurulatih, Kristof Kovago, dengan penilaian dibuat berasaskan kemampuan barisan pemain mengikut strategi diterapkan dalam gelanggang serta perkara asas seperti pukulan dan hantaran.

"Secara jujur, keputusan perlawanan bukan satu kepentingan. Saya hanya mahu mereka meningkatkan kelajuan dan cuba menyaingi pasukan Taiwan kerana mereka beraksi dalam divisyen yang lebih tinggi," katanya.

Selain itu, ia bukan satu perlawanan yang mengikut piawaian sebenar memandangkan ia dilangsungkan dengan format empat lawan empat, berbanding perlawanan sebenar yang bermain dengan lima pemain sepasukan.

Ia kerana mereka sepatutnya bermain di Empire City yang bakal dijadikan venue untuk Sukan SEA, namun berlaku perubahan pada saat-saat akhir yang memaksa perlawanan diadakan di Sunway Pyramid.

"Selepas perlawanan semuanya baik. Walaupun permulaan agak gementar, kami terima dengan seadanya kerana ada yang baru sahaja beraksi hari ini," tambah Kovago.

Skuad negara mempunyai lima lagi perlawanan persahabatan bersama pasukan Taiwan sehingga 8 Julai.