Pelumba Sepanyol, Marc Marquez, menyifatkan kejayaan menjuarai perlumbaan di Sachsenring, Jerman adalah yang paling sukar dalam kariernya selepas bertarung dengan Jonas Folger hampir di sepanjang saingan.

Marquez, yang merupakan pelumba pasukan Repsol Honda, kini telah menjuarai saingan di Jerman selama lapan musim berturut-turut dalam semua kelas, termasuk lima kempennya dalam MotoGP.

Dia mempamerkan kebangkitan menakjubkan dalam perlumbaan tahun lalu, namun saingan sengit di antara Marquez dan Folger pada tahun ini jelas menjadi saingan terhebat.

Biarpun gagal muncul sebagai juara, Folger yang mewakili Monster Yamaha Tech 3, akhirnya berjaya naik ke podium buat pertama kali serta menyedarkan Marquez bahawa dia mampu menjadi pencabar utama dan itu diakui oleh pelumba berusia 24 tahun itu.

“Ia adalah perlumbaan paling sukar di Sachsenring,” kata Marquez.

“Sebelum perlumbaan, semua menjangkakan saingan sengit bakal terjadi di antara saya dan rakan sepasukan (Dani Pedrosa) tetapi akhirnya Folger muncul.

“Folger merupakan seorang pelumba yang bagus, namun saya sentiasa percaya pada diri sendiri untuk mengekalkan jarak,” tambahnya.

“Saya juga ingin menamatkan perlumbaan di garisan akhir tanpa Folger kerana dia berada di negaranya, jadi ia menjadi semakin sukar,” ujar Marquez.