Pelumba Forca Amskin Racing (FAR), Nik Mohamad Azwan Zulkiflie, percaya kem latihan sejak Februari lalu memadai buat pasukannya untuk tampil mencabar dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang bermula esok.

Ketika pasukan-pasukan lain sudah terbabit dalam beberapa pertandingan, ia berbeza buat FAR yang akan memulakan kempen 2018 dalam saingan LTdL.

Saingan tahun ini adalah perlumbaan pembuka tirai buat pasukan yang baru sahaja dibentuk pada penghujung 2017 itu.

Walaupun penyertaan pasukan ini dianggap masih mentah, tiada yang janggal terhadap barisan pelumbanya kerana mempertaruhkan beberapa pelumba berpengalaman, termasuk Nik Mohamad Azwan.

"Ini merupakan perlumbaan pertama kami, saya menjangkakan kesukaran pada hari pertama tetapi ia tidak akan menjejaskan prestasi pasukan," katanya.

Turut memperkuatkan FAR ialah dua tonggak import, John Ebsen dan Alvaro Duerte, dengan sasaran utama FAR adalah memburu peringkat yang menawarkan zon pendakian.

Kelibat Anuar Manan pula dijangka mencabar gelaran raja pecut dengan pengalaman yang dimiliki bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu dalam saingan LTdL menjadi sandaran utama.

"Pelumba import pasukan turut berjaya mencari keserasian ketika melakukan kayuhan. Saya berharap apabila saingan bermula, kami sudah bersedia," ujarnya.