Skuad hoki wanita negara menerima layanan kelas kedua daripada pasukan tuan rumah, Belgium, ekoran kredibiliti yang dibawa skuad negara hanya di ranking ke-22 dunia atau mungkin perang psikologi sebelum aksi separuh akhir Liga Hoki Dunia membuka tirai hari ini.

Hal itu dinyatakan sendiri jurulatih wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Kekangan skuad negara bermula dengan keputusan tuan rumah yang lebih mengutamakan pasukan lain membabitkan penggunaan padang utama.

Menjelang saingan yang bakal membuka tirai, Malaysia akan turun menentang Australia tanpa menguji padang utama terlebih dahulu.

"Kami hanya dapat berlatih di padang kedua, bukan padang yang akan digunakan untuk perlawanan Liga Dunia nanti. Apabila kami tiba untuk menjalani latihan, tiada air yang dapat diberikan kepada kami untuk membasahkan padang tersebut," kata Dhaarma.

Pada Isnin lalu, skuad negara bertemu pasukan bawah 21 tahun Belgium, namun perlawanan itu disulami rasa tidak puas hati Dhaarma ekoran pegawai pasukan lawan itu dibenarkan untuk merekodkan video perlawanan itu yang semestinya menjadi kelebihan kepada pasukan senior mereka melihat sejauh mana kemampuan Malaysia.

"Mereka tidak seharusnya boleh mengambil video gaya permainan kami. Malaysia seperti tidak diberikan penghormatan yang setimpal dengan mana-mana pasukan yang beraksi dalam saingan kali ini."