Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, enggan sekadar mengekalkan pingat emas, sebaliknya mahu melakukan catatan melebihi 7.52 meter dalam Kejohanan Olahraga Dunia, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, 14-23 Julai ini.

Latif mengakui bukan tugas mudah untuk memastikan dua misi utama di pentas terbesar itu dapat dilaksanakan.

Bukan sahaja pingat emas yang ingin dikekalkan tetapi Latif sedar satu lagi sasaran penting adalah untuk melakukan lompatan melebihi 7.52m bagi merebut slot ke Sukan SEA buat kali pertama.

"Cabaran tahun ini agak sukar kerana nama saya tidak tersenarai dalam atlet pilihan. Tetapi saya akan tetap cuba merebut pingat emas di samping cuba memperbaiki catatan saya," katanya.

Jika di Doha pada dua tahun lalu dia melakukan lompatan 7.35m untuk meraih gelaran dunia pertamanya, tidak mustahil pada edisi ini dia mampu merealisasikan dua sasarannya itu selepas membuat persediaan rapi.

Dalam kejohanan di Dubai tahun lalu, Latif melakukan lompatan sejuh 7.07m untuk mengekalkan pingat emasnya.

Sementara itu, atlet pecut para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, juga makin selesa untuk terus memburu kejayaan di London apabila meraih pingat emas acara 100m dengan catatan masa 12.15s dalam Grand Prix Olahraga Para Dunia di Perancis pada Mei lalu.

"Saya berharap dapat memenangi pingat emas seperti pencapaian lalu. Saya juga mahu melakukan rekod yang lebih baik," kata Ridzuan.