Skuad boling tenpin negara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) hari ini selepas meraih satu pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malaysia meraih pingat perak dalam acara berpasukan wanita dengan membariskan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Mohamed Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik, yang akur tewas kepada Amerika Syarikat (AS) dalam aksi final awal pagi tadi.

Pingat gangsa pula disumbangkan oleh skuad berpasukan lelaki, yang dibarisi Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam dan Muhammad Syazirol Shamsudin, selepas tewas 184-299 kepada Korea Selatan dalam separuh akhir.

Ia boleh dikira satu pencapaian yang baik memandangkan skuad negara tidak menyertai sebarang kejohanan -- sama ada domestik atau antarabangsa -- selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19.

Skuad negara selamat tiba di tanah air tepat jam 7.30 malam dan menerusi satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi, Siti Safiyah Amirah berkata: "Kami rasa ia satu pencapaian yang besar kerana sudah dua tahun kami tidak bertanding dan latihan juga adakalanya ada dan adakalanya tidak.

"Kami hanya dapat melakukan persiapan selama dua bulan sebelum Kejohanan Dunia, jadi saya rasa ia memang satu pencapaian yang cukup bagus buat kami.

"Saya amat berpuas hati kerana kami menurunkan pasukan baru yang dibarisi pemain junior.

"Jadi, ini pencapaian terbaik buat kami," katanya.