Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini melancarkan Visi Sukan Negara (VSN) 2030 yang akan menggariskan segala program sukan di Malaysia.

Idea di sebalik visi berkenaan adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai pesaing utama dalam acara sukan di persada dunia.

Dalam merealisasikan VSN 2030, KBS juga akan menggerakkan sesi 'townhall' di peringkat negeri bermula di Johor untuk mendengar aspirasi dan harapan rakyat dalam membantu kerajaan mengenalpasti hala tuju sukan negara.

Enam bidang tumpuan VSN 2030 adalah pembudayaan sukan, pembangunan bakat, kegemilangan sukan, hab sukan, pemerkasaan industri sukan dan profesionalisme.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, berkata kepada Nadi Arena: "Apabila bercakap mengenai VSN ini, saya rasa sudah sampai masanya untuk Malaysia menggerakkan seluruh ekosistem (sukan) kita.

"Apabila kita melihat resipi kejayaan negara-negara yang berjaya dalam sukan, ia berkaitan dengan penyertaan awam itu sendiri.

"Sebagai sebuah negara, kita juga perlu melihat bidang sukan sebagai sumber inspirasi dan saya percaya, sukan itu milik rakyat Malaysia kerana dan Malaysia sememangnya negara yang cintakan sukan cuma sekarang ini adalah bagaimana untuk kita memupukkan minat dalam sukan ke tahap yang seterusnya, setara negara-negara yang berjaya dalam sukan," katanya.