Kegagalan skuad terjun mencapai sasaran pingat emas Sukan Komanwel Birmingham petanda bahawa Malaysia Swimming perlu fokus membina reputasi penerjun muda.

Bekas penerjun negara, Farah Begum berpendapat adalah lebih baik melabur kepada penerjun seperti Bertrand Rhodict daripada terus bergantung kepada senior, Datuk Pandelela Rinong menjelang Sukan Asia Hanzhou, September tahun depan.

Sampai bila Malaysia Swimming mahu terus bergantung kepada Pandelela?

Penerjun kelahiran Sarawak itu mengetuai cabaran negara sejak 2010 namun pada usia 29 tahun, bukan mudah untuk kekal menaiki podium pada kejohanan bertaraf tinggi.

Negara lain seperti China, Korea dan Australia sudah memiliki penerjun muda yang mampu meneruskan legasi mereka.

Namun Malaysia, masih lagi mengharapkan Pandelela.

"Saya berasakan fokus harus diberikan kepada barisan penerjun muda kerana memiliki ruang untuk memperbaiki kualiti persembahan. Sebelum ini tumpuan terletak kepada acara 10m platfom dan kini saya berasakan tumpuan turut boleh diletakkan kepada acara yang berbeza," kata Farah menerusi Nadi Arena.

"Bertrand mempamerkan potensi yang cukup baik sementara acara papan anjal turut menghadirkan pingat buat kontinjen negara berbanding sebelum edisi terdahulu."