Datuk Micheal Wong dan Asrullah Kamar masih meneruskan tugas sebagai pengurus skuad perahu naga dan skuad kayak negara ke Sukan SEA Filipina, November depan biarpun Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, telah memberikan tugas itu kepada individu lain.

Micheal dan Asrullah tetap bersama pasukan walaupun MASCA telah mengemukakan senarai nama baru kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tindakan itu dilihat mempunyai kaitan dengan kemelut dalaman persatuan itu yang turut membabitkan presiden berkenaan.

Namun, mereka tetap meneruskan tugas seperti biasa.

"Kami telah meluluskan senari asal atlet, jurulatih dan dua pegawai, iaitu saya dan Asrullah.

"Kami berdua telah bermula sejak awal hingga sekarang," kata Micheal.

"Kami sudah buat persediaan awal, latihan, persiapan dan semuanya.

"Jika tukar pengurusan, kami tidak tahu apa yang akan terjadi kepada atlet.

"Apa yang lebih penting ialah atlet.

"Latihan mereka lebih penting kerana hanya itu yang boleh meningkatkan prestasi mereka," tambah Asrullah pula.