Lain orang lain caranya, atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, enggan mengikut jejak langkah atlet lempar cakera, Irfan Shamsuddin, yang berpangkalan di Eropah.

"Saya tidak berancang untuk menjalani latihan serta pertandingan di luar negara kerana pandemik Covid-19 masih belum reda. Kami akan berbincang dengan pihak KOM untuk menganjurkan Terbuka Malaysia hujung tahun ini, sama seperti di Thailand akan mengadakan kejohanan olahraga pada bulan yang sama," kata Hup Wei.

Jaguh lompat tinggi itu meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyusun kalendar pertandingan tempatan sahaja, terutama Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang bakal dianjurkan Disember ini dalam usaha mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

Hup Wei menjadi prospek terbaik skuad olahraga negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Dia perlu kekal dalam kelompok 32 ranking terbaik dunia untuk buat penampilan ketiga selepas Beijing 2008 dan London 2012.

"Pertandingan ini agak istimewa buat setiap atlet untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik. Saya berharap untuk kekal dalam kelompok 20 terbaik dan perlu melakukan dengan lebih baik lagi. Layak ke Sukan Olimpik dijadikan sebagai sasaran dan beraksi dalam pusingan akhir adalah impian saya."