"Kelakuan perlu seiring dengan status pemain profesional", itu reaksi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, terhadap kenyataan dikeluarkan pemain yang digugurkan dari skuad kebangsaan Jumaat lalu.

Subahan menjelaskan, barisan pemain yang digugurkan perlu menghormati keputusan dan perancangan ketua jurulatih Hoki skuad negara, Roelant Oltmans, bagi musim 2020.

Tambahnya, beliau turut kesal dengan tindakan pemain tersebut yang sepatutnya lebih profesional menerima keputusan Oltmans.

Sebelum ini, Oltmans memanggil 34 pemain untuk menyertai kem latihan tanpa lima pemain utama, Faizal dan Fitri Saari, Sukri Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor serta Joel Van Huizen yang digugurkan daripada kem negara.

"Jurulatih memiliki kuasa untuk membuat keputusan untuk menyenaraikan pemain untuk menyertai skuad kebangsaan.

"Saya ada mendengar, terdapat pihak yang menyatakan, 'selagi Oltmans bersama skuad kebangsaan, saya tidak akan kembali ke skuad kebangsaan'. Percaya kata saya, saya tidak berminat untuk melayan perkara ini," kata Subahan.