Pasukan Honda Yuzy Racing tetap gigih mempersiapkan jentera terhebat di sebalik tanpa perlumbaan dengan Kejuaraan Cub Prix 2021 sekali lagi ditunda ke bulan depan.

Ia berpunca daripada peningkatan kes positif COVID-19 yang menyaksikan penganjur memilih untuk memastikan komuniti sukan itu menerima vaksin penuh terlebih dahulu.

Walaupun perlu menunggu lama, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy, tetap yakin pelumbanya mampu menjuarai pusingan ketiga meskipun terkilan dengan penundaannya.

"Kami mahu menang.

"Kami mempersiapkan motosikal dengan melakukan pembangunan sepanjang penundaan ini dan ia menampakkan kemajuan," katanya.

Shahrol Yuzy menganggap pembukaan semula sektor sukan permotoran akan membolehkan mereka kembali bernafas semula.




Malah, dia yakin dengan barisan pelumbanya yang bakal diketuai Azroy Hakeem Anuar untuk menyesuaikan diri dengan segera.

"Kami sudah bersedia untuk perlumbaan sama ada di Sepang atau Terengganu.

"Pelumba saya seperti Azroy tidak menghadapi banyak masalah sebab dia sering berlumba dalam kategori berbeza.

"Cuma dia perlu kekalkan tahap fizikalnya di tahap yang tinggi."