Buat julung kali, pasukan Malaysia dinobatkan selaku juara Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran Asia Divisyen Satu 2018 selepas membelasah Macau 7-2 dalam final sambil mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pertandingan.

Skuad negara merupakan pasukan pilihan memandangkan mereka pernah membenam Macau ketika saingan peringkat kumpulan sebelum itu.

Mereka bermula dengan langkah kanan apabila sudah mula meledakkan jaringan pertama sejak minit ketiga menerusi Mohammad Oryza Annanda.

Malaysia semakin garang apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit, masing-masing menerusi Low Jun Ming dan Bryan Lim, sebelum Brandon Tan menjaringkan satu lagi gol untuk menamatkan suku pertama dengan kedudukan 4-0.

Aksi dalam babak kedua menyaksikan Jun Ming dan Oryza sekali lagi melakar nama sebagai penjaring apabila masing-masing menambah gol peribadi pada minit ke-25 dan 32.

Macau meraih gol sagu hati menerusi serangan balas yang disempurnakan Iun Chi Fong pada minit ke-55 tetapi kapten kebangsaan, Loke Ban Kin, menjadikan kedudukan 7-1, tiga minit kemudian.

Walaupun Macau berjaya menambah satu lagi jaringan menerusi Lei Meng Chi, namun ia tidak dapat menghalang skuad kendalian Kristof Kovago itu untuk menjulang kejuaraan pertama mereka di pentas Asia.

"Kami beraksi dengan baik dan pemain-pemain berhak meraikan kemenangan. Kejayaan ini tidak datang dengan mudah kerana ia diusahakan sejak dua tahun lalu," kata Kovago.

"Seluruh pasukan bekerja keras dan masing-masing melakukan pengorbanan besar. Saya sangat gembira," tambah Bryan.

"Kami bermain bermati-matian tetapi lawan lebih bijak menggunakan peluang," ujar pemain Macau, Lin Zhi Hang.