Gimnas negara, Amy Kwan, tetap berpuas hati dengan pingat gangsa acara gelung apabila bertarung dengan kecederaan ketika bersaing dalam Sukan SEA Ke-30 yang tamat hari ini.

Sebelum ini, Amy mengharungi tempoh kecederaan yang panjang, sekali gus tidak beraksi di pentas kompetitif sejak Disember tahun lalu selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki kiri.

Ketika bersaing dalam temasya dwitahunan itu di Filipina, Amy tidak menafikan rasa sakit akibat kecederaan, namun kekuatan mental mendorongnya untuk melengkapkan rutinnya, sekali gus berjaya meraih pingat gangsa.

"Kesakitan itu hadir ketika menjalani latihan, namun ia hilang sewaktu beraksi dalam kejohanan utama," katanya.

"Perkara paling penting adalah mempercayai kemampuan, rutin serta apparatus yang digunakan."

Amy meraih tempat ketiga dalam acara gelung dengan kiraan mata 15.900 manakala rakan sepasukannya, Izzah Amzan, meraih pingat perak dengan 16.500 mata.

Amy juga meluahkan perasaan sedih terhadap sistem pengadilan tuan rumah yang kelihatan berat sebelah ketika acara gelung serta beberapa acara lain.

"Perkara paling penting adalah kami telah melakukan yang terbaik. Sistem pengadilan merupakan sesuatu di luar kawalan kami, namun saya tetap berbangga skuad Malaysia memberikan yang terbaik."