Antoine Griezmann mengakui bermain di depan stadium penuh dalam cuaca panas terik mempengaruhi Perancis selepas seri 1-1 dengan Hungary dalam saingan Euro 2020 semalam.

Penyerang Barcelona, Griezmann, menyamakan kedudukan 24 minit sebelum tamat perlawanan di Budapest bagi menafikan jaringan pembukaan Attila Fiola dan menyelamatkan Les Blues dengan satu mata dalam perlawanan Kumpulan F.

Hungary didorong oleh kehadiran penonton, dengan lebih kurang 61,000 yang hadir ke stadium ihsan pelonggaran sekatan coronavirus di ibu negara Hungary itu.

Perancis terpaksa berpuas hati dengan satu mata menyaksikan mereka perlu menunggu sebelum mendapatkan tempat ke pusingan 16 dan Griezmann berpandangan terhadap aksi kurang cemerlang pasukannya berpunca daripada beberapa faktor.


"Ini adalah perlawanan yang sukar bagi kami," katanya kepada beIN Sports. "Dengan penyokong yang hadir dalam stadium yang penuh, kami kehilangan sentuhan kami. Kami berjuang dalam cuaca yang sangat panas.

"Kami melakukan kesilapan dan tidak tahu bagaimana untuk melakukan gerakan. Kami seperti hilang arah dalam separuh masa pertama.

"Kami mengetahui terdapat pemain di bangku simpanan boleh mengubah corak perlawanan, kami perlu terus berusaha dan meningkatkan lagi mutu permainan."

Griezmann meledak gol ketujuh dalam saingan Euro, meletakkan dirinya hanya di belakang Cristiano Ronaldo (11) dan Michel Platini (nine) dalam senarai penjaring terbanyak gol sepanjang zaman bagi kejohanan tersebut.