POLAND 1 SLOVAKIA 2

Jaringan gemilang Milan Skriniar dalam babak kedua memastikan Slovakia memulakan kempen Euro 2020 dengan kejutan apabila menewaskan Poland, yang beraksi dengan 10 pemain, 2-1 di St Petersburg awal pagi tadi.

Ketika Slovakia dilihat akan menjadi pasukan belasahan dalam saingan Kumpulan E, mereka terlebih dahulu berada di depan hasil usaha Robert Mak, yang menjadikan Wojciech Szczesny sebagai penjaga gawang pertama menjaringkan gol sendiri dalam kempen kali ini.

Poland menyamakan kedudukan tidak lama selepas babak kedua bersambung menerusi sentuhan Karol Linetty tetapi laluan mereka kian berliku apabila pemain tengah, Grzegorz Krychowiak, diarahkan keluar padang.

Krychowiak dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-62 susulan tindakannya menarik Jakub Hromada dari belakang.

Slovakia jelas memanfaatkan kelebihan itu apabila Skriniar -- yang mengawal ketat bintang Poland, Robert Lewandowski, sepanjang perlawanan -- memberikan impak yang cukup besar menerusi penyudahnya susulan umpanan Marek Hamsik pada minit ke-69.