Penyerang warisan negara yang mewakili Petaling Jaya City, Darren Lok, meramalkan England mampu menempah tiket ke separuh akhir ketika bertemu Ukraine dalam Euro 2020, awal pagi ini.

The Three Lions mencipta sensasi apabila menyingkirkan Jerman dalam pusingan 16 untuk bertemu skuad kendalian Andriy Shevchenko itu di Stadium Olimpico, Itali.

Darren merupakan pemain kelahiran England di mana bakatnya digilap di Eastbourne Borough sebelum dia memperoleh pasport Malaysia pada 2016.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu yang dibarisi ramai bintang muda berbakat menggalas harapan tinggi peminat selepas mengharungi kempen menarik setakat ini.

Justeru, laungan It's coming home semakin bergema, lebih-lebih lagi ramai peminat bola sepak di negara ini sering mengikuti rapat perkembangan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ini peluang terbaik buat England memenangi kejohanan utama.

"Walaupun dalam setiap kejohanan warga England akan mengatakan 'it's coming home', tapi tahun ini nampaknya ia paling hampir akan berlaku.

"England mempamerkan aksi mengagumkan. Kemenangan ke atas Jermanmemang hebat sekalipun tidaklah begitu istimewa di peringkat kumpulan, namun mereka berjaya menyelesaikannya," katanya dalam Nadi Weeked sebentar tadi.




Dalam masa sama, ramai yang masih sangsi dengan kelibat Raheem Sterling sekalipun telah mencetak tiga gol termasuk jaringan pembukaan ke atas Jerman.

Darren beranggapan pemain lincah Manchester City itu telah mempamerkan kualiti dalam menghidupkan jentera serangan di sebalik ketumpulan gandingannya, Harry Kane.

"Saya pasti Sterling akan terus jadi pertaruhan. Dia menerima kritikan keras, ramai yang mengatakan dia tidak layak untuk membarisi pasukan.

"Tetapi bagi saya, dia sentiasa berada di posisi yang tepat.

"Walaupun jaringannya nampak seperti satu tolakan mudah, namun ia memerlukannya berada di kedudukan yang tepat dan menjangkakan di mana bola akan bergolek.

"Jadi saya ramal England akan menang 2-0."