Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel, berharap akan dapat mengatasi kapten England, Harry Kane, dalam perlawanan separuh akhir Euro 2020 awal pagi esok.

Kane bermula perlahan dalam kejohanan kali ini sebelum menanduk masuk gol kemenangan ke atas Jerman dalam pusingan 16 dan menjaringkan dua gol ketika menyingkirkan Ukraine dalam kemenangan 4-0 pusingan suku akhir di Rome.

Penjaga gol Leicester City, Schmeichel, tahu segala perincian mengenai kualiti yang dimiliki Kane daripada pertembungan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.

Bahkan, Kane telah menjaringkan 14 gol ketika menentang Schmeichel, yang merupakan rekod tertingginya berbanding mana-mana penjaga gol lain dalam kesemua kejohanan.

Salah satu daripadanya adalah ketika Tottenham menewaskan Leicester 4-2 dalam perlawanan terakhir EPL musim lalu di Stadium King Power -- yang turut menafikan slot The Foxes ke Liga Juara-Juara Eropah.



"Dia seorang pemain berkelas dunia, seorang yang mampu menjanjikan anda banyak gol dalam satu musim," kata Schmeichel dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Dia seorang pemain yang amat berdedikasi dan profesional. Dia tahu di mana mahu menempatkan dirinya, dia mempunyai naluri yang bagus.

"Saya boleh katakan bahawa dia antara tiga atau lima penyerang terbaik di dunia," katanya.