Bukayo Saka berkata England berkeyakinan untuk menentang mana-mana pasukan yang akan menjadi naib juara 'kumpulan maut' menjelang pusingan 16 Euro 2020 di Stadium Wembley selepas menewaskan Republik Czech 1-0 untuk menjadi juara Kumpulan D awal pagi tadi.

Gol tandukan Raheem Sterling dalam babak pertama sudah cukup untuk skuad kendalian Gareth Southgate itu memintas lawan mereka di tangga teratas kumpulan dan menamatkan saingan itu tanpa dibolosi -- pencapaian yang hanya pernah dilakukan mereka sebanyak dua kali dalam kejohanan utama.

The Tree Lions akan menantikan lawan mereka yang akan muncul naib juara Kumpulan F, sama ada Perancis, Jerman, Hungary atau juara bertahan, Portugal, menjelang penentuan ke suku akhir minggu depan.

Pemain remaja berbakat Asenal, Saka, yang mencuri tumpuan ketika diturunkan sebagai kesebelasan utama buat kali pertama di samping Jack Grealish, Harry Maguire dan Kyle Walker, berkata kelebihan beraksi di depan 45,000 penyokong sendiri akan membantu England ke suku akhir.

Dia berkata kepada ITV Sport: "Ia amat penting (untuk beraksi di Wembley dalam pusingan 16). Ini adalah rumah kami.

"Kami telah memenangi banyak perlawanan di sini -- amat baik untuk dapat kembali beraksi di sini.

"Sesiapa sahaja yang akan kami hadapi, kami akan berkeyakinan untuk menewaskan mereka," katanya.

Sebagai rekod, England juga pernah melepasi peringkat kumpulan tanpa dibolosi dalam Piala Dunia 1966 (tiga perlawanan) dan Piala Dunia 1982 (dua perlawanan).