Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, menyenaraikan penyerang Sassuolo, Giacomo Raspadori, dalam kelompok 26 pemainnya menjelang Euro 2020 pertengahan bulan ini.

Pemilihan Raspadori merupakan satu kejutan memandangkan dia masih belum membuat sebarang penampilan antarabangsa dan hanya beraksi sebanyak 39 perlawanan serie A.

Pemain berusia 21 tahun itu melakukan 27 penampilan liga sepanjang musim 2020-21 tetapi hanya 13 daripadanya sebagai kesebelasan utama selain menjaringkan enam gol buat pasukan itu, yang menamatkan musim ini di tempat kelapan.

Kesemua jaringan itu dihasilkannya sepanjang tahun ini, termasuk satu gol ke atas AC Milan pada April lalu selain satu lagi jaringan ketika menentang Juventus sebulan kemudian.

Dia merupakan sebahagian daripada skuad Itali yang tersingkir daripada Kejohanan Eropah B-21 kelmarin -- tewas 5-3 dalam masa tambahan di tangan Portugal di peringkat suku akhir.

Selain Raspadori, Mancini turut menyenaraikan pertahanan Atalanta, Rafael Toloi, tetapi rakan sepasukannya, Matteo Pessina, gagal mendapat tepat.

Turut disingkirkan adalah Matteo Politano dan pertahanan AS Roma, Gianluca Mancini.

Itali akan berdepan Republik Czech dalam satu aksi persahabatan Jumaat ini sebelum sepak mula kejohanan itu, yang telah ditangguhkan selama setahun berikutan pandemik koronavirus.

Azzurri akan menghadapi Turki dalam perlawanan pertama Euro 2020 pada 16 Jun ini sebelum bertemu Switzerland empat hari kemudian. Mereka akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan bertemu Wales pada 20 Jun ini dengan kesemua perlawanan itu akan berlangsung di Rome.

Senarai pemain Itali:
Gianluigi Donnarumma (Milan), Alex Meret (Napoli), Salvatore Sirigu (Torino); Francesco Acerbi (Lazio), Alessandro Bastoni (Inter), Leonardo Bonucci (Juventus), Giorgio Chiellini (Juventus), Giovanni Di Lorenzo (Napoli), Emerson Palmieri (Chelsea), Alessandro Florenzi (Paris Saint-Germain), Leonardo Spinazzola (Roma), Rafael Toloi (Atalanta); Nicolo Barella (Inter), Bryan Cristante (Roma), Jorginho (Chelsea), Manuel Locatelli (Sassuolo), Lorenzo Pellegrini (Roma), Stefano Sensi (Inter), Marco Verratti (Paris); Andrea Belotti (Torino), Domenico Berardi (Sassuolo), Federico Bernardeschi (Juventus), Federico Chiesa (Juventus), Ciro Immobile (Lazio), Lorenzo Insigne (Napoli), Giacomo Raspadori (Sassuolo)