Cristiano Ronaldo mengintai lembaran baru dalam kariernya ketika Portugal berdepan Jerman dalam Euro 2020,tengah malam esok, untuk menghampiri rekod jaringan terbanyak dunia di peringkat antarabangsa.

Bintang Juventus itu menyumbat dua gol lewat permainan ketika membantu juara bertahan terbabit mencipta kemenangan 3-0 ke atas Hungary dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F.

Pencapaian itu menjulangnya penjaring terbanyak sejarah pusingan akhir kejuaraan benua berkenaan dengan 11 gol dalam 22 penampilan.

Ronaldo hanya dipisahkan satu gol dengan rekod milik Miroslav Klose (19) untuk jaringan terbanyak pemain Eropah dalam Euro dan Piala Dunia.

Justeru, satu lagi pencapaian gemilang kini dalam bayangannya: tiga gol lagi untuk mengatasi sentuhan berbisa penyerang Iran, Ali Daei, iaitu 109 jaringan.

Namun, bukan sekali sejarah berpihak kepada Ronaldo ketika menghadapi Jerman, yang tewas 0-1 kepada Perancis dalam perlawanan pembukaan mereka di Munich.

Dia pernah empat kali menentang mereka -- keseluruhannya 360 minit -- dan sepanjang usaha itu, dia melepaskan 23 percubaan tepat.

Begitupun, Ronaldo masih buntu untuk merobek pasukan kendalian Joachim Low itu, manakala Perancis (enam kali).






Bekas penyerang, Nuno Gomes, tidak kelihatan gusar dengan kemarau jaringan Ronaldo itu yang mungkin berlanjutan di Allianz Arena, di mana kemenangan Portugal akan memastikan slot mereka ke fasa kalah mati, sekali gus menutup pintu buat Jerman untuk menghuni dua tangga teratas jika Perancis mengelakkan kekalahan kepada Hungary.

"Cristiano telah membuat kita percaya bahawa baginya tiada apa yang mustahil," tulis Gomes melalui UEFA.

"Dia sangat bermotivasi dan kami boleh menyandarkan harapan yang dia akan mengerahkan segala kudrat.

"Dia mungkin telah kehilangan beberapa aspek kederasan dan kelincahan tetapi berbakat dalam meledak pelbagai jenis gol. Kedudukannya sangat penting dan dia berada di posisi yang tepat pada waktu yang tepat, elemen yang penting bagi seorang penyerang.

"Sukar untuk mendapatkan kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan apa yang telah dilakukannya."