Kasper Schmeichel menggambarkan perasaannya setelah kemenangan Denmark ke atas Russia dalam Kejuaraan Eropah dengan satu perkataan.

"Euforia," kata penjaga gol itu.

Definisi : (éuforia) 1. rasa gembira yang amat sangat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Rasa kegembiraan yang tidak terkawal itu adalah perasaan yang baik untuk pasukannya, seperti yang dinyatakan oleh Schmeichel, "emosi kami ketika ini seperti 'roller coaster'" dalam saingan Euro 2020 tetapi kini mempunyai setiap alasan untuk melihat ke hadapan dengan penuh optimis.

Kemenangan 4-1 ke atas Russia memastikan tempat ke pusingan 16 bagi Denmark, di mana mereka bakal bertemu Wales Sabtu ini di Amsterdam.



"Setelah 10-12 hari terakhir yang kami lalui, rasanya sangat bagus untuk layak ke peringkat seterusnya," kata Schmeichel. "Banyak yang telah berlaku, tetapi sekarang Euro akan bermula bagi kami. Kami berpeluang menjadikan kejohanan ini untuk menjadi lebih baik setelah permulaan yang sangat sukar."

Kempen Denmark bermula dengan Christian Eriksen mengalami serangan jantung semasa perlawanan pembukaan menentang Finland hingga seluruh dunia sunyi seketika mengenangkan apa yang berlaku terhadap pemain tengah itu.

Tewas 1-0 kepada Finland selepas perlawanan bersambung sebelum tewas sekali lagi kepada Belgium 2-1, kebangkitan yang dipamerkan ketika mengatasi Russia di Stadium Parken merupakan hasil sokongan yang diraih pasukan.

"Saya rasa kita tidak dapat melakukan ini tanpa sokongan mereka," kata jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand. "Ini mengangkat semangat pemain, mengangkat segalanya, dan itu sangat bermakna bagi kami."

Namun, mereka harus mencari jalan untuk menang di tempat yang neutral, menentang pasukan yang mara ke separuh akhir Euro 2016.

"Mereka mempunyai pemain hebat," kata Hjulmand mengenai Wales. "Ini akan menjadi perlawanan yang sangat menarik dan sangat seimbang."

Sumber: AP