Pengarah Teknikal Taekwondo Malaysia (TM), R. Dhinaraj, mengesahkan empat atlet sudahpun layak ke Sukan Asia 2018 dan tidak menolak akan ada pertambahan nama berdasarkan prestasi semasa dalam kejohanan terdekat.

Empat atlet tersebut ialah Rozaimi Razali, Yap Khim Wen, Jong Jin Kun dan Chew Wei Yan, dengan Rozaimi sahaja akan beraksi dalam acara kyorugi manakala tiga yang lain dalam acara poomsae.

Kelibat empat atlet ini menjadi pilihan berdasarkan prestasi mereka menyumbang pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 serta Kejohanan Asia tahun lalu, namun akan ada pertambahan andai enam atlet daripada senarai menunggu mampu menyerlah dalam tempoh terdekat.

"Persatuan perlu menanggung kebajikan atlet, jika tidak prestasi mereka akan merosot," kata Dhinaraj.

Pengguguran taekwondo darpadai sukan teras sebelum ini amat dirasai persatuan ketika ini, namun itu tidak menghalang mereka memastikan sukan taekwondo kekal mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa dan menyumbang kebanggaan buat negara.

Buktinya, pihak persatuan sedang dalam perancangan mencari dana sendiri dengan tumpuan menggunakan kepakaran jurulatih tempatan yang berpotensi selain bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat mengurangkan beban persatuan.

"Kami akan membuat penilaian semula menerusi kejayaan yang diraih dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan daripada situ, kami akan cuba menyerapkan mereka ke dalam program yang bersesuaian," tambahnya.