Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, memberi tempoh selama seminggu dengan mengambil kira pandangan pemainnya berhubung sesi latihan jam 3.30 pagi yang bermula sejak hari pertama Ramadan ini.

Ternyata, ia bukan perkara mudah untuk skuad negara yang perlu memenuhi pelan latihan pada awal pagi sepanjang bulan puasa.

Baru melewati hari keempat, Dhaarma sendiri mengakui kepenatan luar biasa, apatah lagi setiap pemainnya yang perlu memerah keringat setiap kali latihan.

"Pagi ini, saya rasakan kesukaran untuk saya tetapi kepada pemain lebih teruk kerana mereka yang bermain. Mungkin kami tidak biasa lagi dan perlu menyesuaikan diri. Mungkin minggu depan kami dapat biasakan diri dan teruskan," katanya.

Justeru, bagi minggu pertama, Dhaarma menganggap ia sebagai tempoh percubaan dan jika situasi itu berjaya diatasi anak buahnya, sesi latihan awal pagi itu akan diteruskan.

"Kalau kami bermula latihan jam 10 pagi (jadual asal), kadang-kadang sampai (tamat) jam 12 tengah hari. Selepas kami berehat dan datang semula ke latihan, ia sedikit sukar.

"Sebagai satu pasukan, kami berbincang pagi ini, biarlah kami melalui minggu ini dahulu, kemudian kami akan putuskan sama ada akan teruskan atau tidak," tambahnya.

Skuad hoki wanita negara kini dalam persediaan untuk menghadapi kelayakan Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga di Belgium, 21 Jun hingga 2 Julai ini.