Gabenor New York, Adrew Cuomo, berkata kesemua pasukan dalam liga profesional dibenarkan untuk kembali memulakan kem latihan di negeri itu bermula Ahad ini.

Setiap pasukan, bagaimanapun, perlu mematuhi protokol kesihatan berikutan pandemik Covid-19.

Dengan liga NBA, NHL, MLB dan MLS sedang dalam persiapan untuk meneruskan saingan, Cuomo menggalakkan aktiviti sukan kembali diadakan tanpa kehadiran penonton jika ia dapat membantu perkembangan ekonomi.

"Lakukannya, lakukannya, kami mahu anda melakukannya.

"Kami mahu rakyat dapat menyaksikan acara sukan.

"Memandangkan mereka masih perlu berada di rumah, ia memberikan mereka sesuatu untuk dilakukan.

"Ia memulangkan semula kehidupan normal.

"Jadi, kami dalam usaha untuk menggalakkan kesemua pasukan sukan untuk kembali memulakan kem latihan mereka secepat mungkin.

"Dan kami akan berusaha untuk memastikannya berjaya," katanya.

New York merupakan negeri di Amerika Syarikat yang paling terjejas dengan lebih kurang 355,000 kes jangkitan dan 29,000 kematian direkodkan gara-gara Covid-19, berdasarkan data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di negara itu.