Skuad bola tampar lelaki negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tunduk kepada Myanmar 3-2 dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Sukan SEA Ke-29 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam tadi.

Myanmar mengatasi Malaysia menerusi perlawanan lima set 25–23, 20–25, 25–22, 20–25, 17–15 dengan keputusan penuh 107–110.

"Saingan di antara kami dan Myanmar adalah 50-50. Kesilapan yang dilakukan oleh pemain tidak dapat dielak tetapi mereka telah memberikan aksi yang terbaik.

"Bagaimanapun, kami masih berpeluang untuk ke separuh akhir jika mampu meraih kemenangan ke atas Thailand," kata jurulatih pasukan negara, Tey Yeu Siong.

Ditanya mengenai prestasi pemain berbanding aksi menentang Kemboja kelmarin, dia berkata: "Pada pendapat saya, terdapat kekurangan daripada segi kecergasan di atas gelanggang.

"Terdapat beberapa pemain yang masih kekurangan pengalaman beraksi di pentas ini."

Menurut Yeu Siong lagi, skuad negara masih mempunyai harapan untuk melangkah ke peringkat separuh akhir bagi meneruskan misi menamatkan kemarau pingat.

"Malaysia masih memiliki satu peluang iaitu menang ke atas Thailand bagi memastikan tempat ke separuh akhir."

Dalam perlawanan pertama kelmarin, Malaysia meraih kemenangan ke atas Kemboja 3-0.

Malaysia akan menentang Thailand yang juga juara bertahan, Khamis ini.

Kumpulan A membabitkan Thailand, Malaysia, Myanmar dan Kemboja manakala Kumpulan B mengandungi Filipina, Vietnam, Indonesia dan Timor Leste.

Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke saingan separuh akhir pada 26 Ogos ini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.