KOREA SELATAN 1 MALAYSIA 2

Skuad B-23 negara melakar kejutan terbesar dalam Sukan Asia 2018 selepas merakamkan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Korea Selatan, dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, sebentar tadi.


Tujuh bulan lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee terpaksa menerima kekalahan kepada Korea Selatan dalam aksi suku akhir Kejohanan AFC B-23 Tahun tetapi kali ini di Indonesia, Malaysia meraih satu kemenangan yang penuh bermakna.

Selepas menewaskan Arab Saudi pada Januari dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu dalam aksi persahabatan, Korea Selatan menjadi pasukan gergasi Asia yang tunduk kepada Malaysia.

Korea mendominasi permainan sejak awal dan melancarkan sebilangan besar pemain untuk menyerang, membuka ruang buat Malaysia mencipta peluang.

Sepakan jauh penjaga gol negara, Haziq Nadzli, pada minit kelima berjaya mengelirukan pertahanan Korea yang tidak bersefahaman dengan penjaga golnya sendiri, sekali gus membenarkan Malaysia membuka jaringan pada minit kelima menerusi Safawi Rasid.

Bagaimanapun, Korea tidak tergugat apabila ketinggalan dalam permainan dan meneruskan permainan dengan strategi dan taktikal yang sama untuk mencari gol penyamaan.

Pertahanan ampuh dipamerkan Malaysia sementara sentuhan penyudah Korea yang tumpul bermakna tiada jaringan berjaya dihasilkan.

Haziq bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan Hwang Hee-chan dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-34 dan lima minit kemudian, Kim Jung-min melepaskan peluang apabila rembatannya tersasar.

Ketika pengadil hampir meniupkan wisel sebagai tanda tamat separuh masa pertama, Malaysia berjaya menambah jaringan, Safawi sekali lagi berjaya mengawal bola sebelum menewaskan penjaga gol Korea, Song Bum-keun, buat kali kedua dengan sepakan leret dari luar petak penalti yang lebih dahulu terkena tiang gol sebelum masuk.

Terdesak dengan ketinggalan dua jaringan, Korea terpaksa menurunkan bintang Tottenham Hotspur yang berjersi nombor 7, Son Heung-min, ketika permainan berbaki lebih sedikit daripada 30 minit.

Dengan inspirasi daripadanya, Korea menambah tekanan ke arah pintu gol Malaysia dan memaksa mereka untuk bertahan pada baki permainan.

Baddrol Bakhtiar dan Syahmi Safari bekerja keras membantu barisan pertahanan untuk mengawal gerakan Korea sehingga minit ke-88.

Gawang yang dikawal oleh Haziq akhirnya bocor selepas Hwang Ui Jo berjaya memintas barisan pertahanan untuk menyumbat jaringan pertama Korea.

Heung-min sendiri turut berpeluang sebelum itu pada minit ke-66, namun tandukannya sedikit mengatasi palang.

Peluang terakhir Korea pada minit ke-90 turut datang daripada penyerang itu, cuma kali ini sepakan percumanya betul-betul di hadapan petak penalti, sipi ke sebelah kanan pintu gol.

Malaysia terus menampilkan permainan bertahan hingga tamat permainan bagi memastikan kemenangan kedua dalam Sukan Asia berjaya diraih.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia selaku pendahulu Kumpulan E dengan berbaki satu perlawanan. Bahrain dan Kyrgyzstan meraih satu mata selepas mereka seri 2-2 dalam aksi yang berlangsung pada sebelah petang.

"Satu kepujian yang harus diberikan kepada pemain-pemain selepas mereka berusaha habis-habisan untuk merakamkan kemenangan. Ia merupakan keputusan yang positif kerana ia telah memastikan kami layak ke peringkat seterusnya," kata Kim Swee.

"Pemain kekal fokus berdepan barisan pemain Korea Selatan yang berkualiti. Walaupun bolos pada penghujung permainan, mereka kekal fokus dan memastikan tiga mata diraih dalam perlawanan ini."