Malang menimpa pelumba berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, apabila kasutnya tercabut hingga menafikan peluangnya untuk layak ke perebutan pingat gangsa acara pecut berpasukan wanita dalam Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Dalam aksi di Velodrom Anna Meares itu, Fatehah begitu kecewa dengan masa yang dicatatkan bersama Farina Shawati Mohd Adnan, iaitu 34.826 saat, lebih perlahan daripada rekod kebangsaan yang dicipta dalam Sukan SEA 2017, 34.140s.

Gandingan itu sebelumnya yakin mampu melakukan catatan lebih baik tetapi misi mereka terganggu ekoran kasut Fatehah tercabut daripada pedal basikalnya.

Mereka menamatkan saingan di tangga keenam, namun keputusan akhir menyaksikan Fatehah dan Farina di tempat kelima berikutan penyertaan Kanada dibatalkan.

"Dalam aksi tadi, saya agak gementar. Semua orang boleh lihat kami melakukan kesilapan untuk permulaan buat kedua-dua pasukan. Jadi, saya cuba tenangkan diri untuk aksi kedua dan dapat melakukan dengan baik.

"Cuma, kasut saya terbuka dan nasib baik saya dapat masukkan semula. Ia sudah berlalu dan kami hanya mahu meneruskan cabaran," ujar Fatehah.

Pecut berpasukan lelaki pula hampir memperbaharui rekod kebangsaan 10 tahun milik gandingan Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin, iaitu 44.725s, apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Fadhil Mohd Zonis dan Khairul Nizam Rasol mencatat 44.760s.

Shah Firdaus tetap puas dengan aksinya kerana sebelum ini hanya menjadi pelumba simpanan.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak menjangka berada dalam pasukan pecut. Saya datang ke sini sebagai simpanan untuk acara pecut.

"Selepas beberapa hari, tiba-tiba jurulatih berubah fikiran dan mahu saya menyertainya. Jadi, sasaran kami untuk ke final agak sukar," kata Shah Firdaus.