Karim Benzema sudah mula mengimpikan untuk memenangi Euro 2020 bersama Perancis selepas "agak terkejut" kembali menerima panggilan pasukan kebangsaan berkenaan.

Penyerang Real Madrid itu pada minggu lalu dinamakan sebagai sebahagian daripada skuad Perancis menjelang kempen Kejohanan Eropah selepas hampir enam tahun dipinggirkan.

Dia tidak dipanggil Didier Deschamps sejak 2015 selepas didakwa memeras ugut rakan sepasukan kebangsaannya, Mathieu Valbuena.

Pemain berusia 33 tahun itu menafikan dakwaan berkenaan dan akan berdepan perbicaraan atas tuduhan penglibatannya dalam pemerasan pada Oktober depan.

Penyenaraian semula Benzema itu tiba selepas dia menjaringkan 30 gol buat Madrid dalam kesemua kejohanan musim ini, 23 daripadanya dalam LaLiga -- berada di tangga kedua senarai penjaring terbanyak di belakang bintang Barcelona, Lionel Messi.

Bagaimanapun, kepulangannya ke pangkuan skuad Les Bleus itu menjadi kejutan walaupun terdapat perbincangan empat mata di antara dirinya dan Deschamps sebelum senarai penuh pasukan itu diumumkan.

"Ia hari yang istimewa," katanya kepada L"Equipe.

"Saya menerima banyak pesanan, terdapat juga spekulasi. Saya menantikannya seperti orang lain, di depan TV. Saya amat gembira.

"Ia berlaku dengan amat pantas, ia perasaan gembira dan bangga. Saya teringat kesemua momen di mana saya tidak pernah mengaku kalah. Ia agak mengejutkan, ia sudah terlalu lama!" katanya.

Kali terakhir Benzema mewakili negaranya adalah dalam penampilannya yang ke-81 ketika Perancis berdepan Armenia pada Oktober 2015 -- menjaringkan dua gol ketika menang 4-0 dalam perlawanan persahabatan itu dan secara keseluruhan merekodkan 27 gol buat Les Bleus.

Dia terlepas kejuaraan Perancis dalam Piala Dunia 2018 dan kini amat bernafsu untuk menebusnya dengan memacu kejayaan negaranya dalam Euro 2020 bulan depan.

"Saya mahu memenangi trofi bersama Perancis.

"Semua orang boleh kata: 'ia impian saya unruk memenangi Euro'.

"Tetapi persoalannya bagaimana untuk memenanginya? Dan jawapan saya adalah dengan skuad yang kami ada, kami boleh memenanginya," tambahnya.

Perancis akan memulakan saingan Kumpulan F dengan berdepan Jerman di Munich pada 15 Jun ini sebelum berdepan Hungary dan juara bertahan, Portugal.