WWE TLC 2020: Roman dan McIntyre kekal juara, The Fiend hangus dijilat api

Oleh Hafiz Azwany Taher 21 Disember 2020 6668
WWE TLC 2020: Roman dan McIntyre kekal juara, The Fiend hangus dijilat api
Penutup acara pay-per-view WWE bagi tahun 2020 iaitu WWE TLC (Tables/ Ladders/Chairs) yang berlangsung pagi tadi menyaksikan dua juara utama berjaya mempertahankan kejuaraan masing-masing dengan penuh bergaya.

Di perlawanan pembukaan acara, Juara WWE Drew McIntyre menutup peluang AJ Styles untuk merampas kejuaraannya dalam perlawanan TLC yang penuh aksi dan dihiasi dengan pelbagai kejutan yang mengujakan para penoton maya yang memenuhi arena WWE Thunderdome.

Kelebihan fizikal yang dimiliki McIntyre dimanfaatkan sepenuhnya walaupun di babak pertama perlawanan, AJ bijak melumpuhkan seketika kemaraan bintang kelahiran Scotland itu dengan menyerang bahagian lutut, sekaligus menyebabkan McIntyre tempang buat beberapa waktu.

Perlawanan yang sengit itu mengundang The Miz selaku pemegang beg bimbit MITB (Money In The Bank) muncul di pertengahan perlawanan. Atas keyakinan yang kedua-dua bintang iaitu McIntyre dan Styles sedang lelah dalam meneruskan perlawanan, The Miz menunaikan kontrak MITBnya selajur memasukkan dirinya sebagai peserta ketiga, seterusnya menukar perlawanan kepada tiga penjuru.


Ternyata The Miz telah tersilap percaturan apabila McIntyre dan AJ bangkit semula meneruskan perlawanan yang akhirnya menyaksikan Drew McIntyre berjaya menyingkirkan cabaran daripada AJ dengan mendaki anak tangga dan terus menggapai bengkung Kejuaraan WWE yang tergantung dan sekaligus mempertahankan kejuaraan berprestij tersebut.

Satu lagi perlawanan berformat TLC turut bersiaran dengan Kejuaraan Universal pula menjadi taruhan. Setelah dibelasah dan diaibkan sejak berminggu-minggu lalu, Kevin Owens mencabar sang juara Roman Reigns bagi melampiaskan kesumat yang tersemat di dada ke atas Juara Universal itu.

Kemarahan Owens terserlah apabila menyerang Roman yang belum bersedia. Belum pun lagu temanya berkumandang, Owens telah muncul dan menyerang Roman tanpa henti dan menguasai minit-minit pertama perlawanan.

Melihatkan situasi genting yang berlaku, sepupu merangkap balaci kepada Roman Reigns, Jey Uso muncul mengganggu perlawanan dan menyerang Owens. Dengan persediaan yang rapi, Owens berjaya mematahkan cubaan serangan daripada Jey dan sempat menempangkan buku lali bekas juara beregu WWE itu hasil bantuan kerusi besi yang tersedia di setiap penjuru gelanggang.

Dengan persona baharu yang kini lebih kejam dan tidak berhati perut, Roman membelasah Owens tanpa belas kasihan. Segala kerusi besi, meja dan tangga yang tersedia di sisi gelanggang dimanfaatkan sebaiknya. Namun pujian wajar diberikan kepada Owens kerana masih mampu bertahan dan enggan mengalah secara mudah.

Beberapa kali Owens nyaris dapat menggapai bengkung kejuaraan yang tergantung. Malangnya setiap kali peluang kemenangan terbentang di depan mata, muncul lagi Jey Uso mengacau sehingga membuatkan fokus Owens terganggu dek serangan bertali arus daripada keluarga Samoa tersebut.

Dengan cara kemenangan yang tidak bermaruah, Roman bertindak melakukan pukulan celah kelangkang kepada Owens yang pada satu ketika hanya beberapa inci sahaja untuk merenggut bengkung kejuaraan yang tergantung. Akhirnya Owens tumbang dan Roman dengan wajah yang penuh angkuh berjaya mempertahankan kejuaraannya sambil tersenyum sinis menyaksikan Owens yang kecundang di lantai gelanggang.



Beberapa kejuaraan turut bertukar tangan di acara kali ini apabila menyaksikan The Hurt Business (Shelton Benjamin & Cedric Alexander) berjaya menundukkan Xavier Woods & Kofi Kingston. Manakala Juara Beregu Wanita Nia Jax & Shayna Baszler pula berputih mata apabila kejuaraan yang mereka sandang sejak beberapa bulan lalu terlepas ke tangan Juara Wanita Raw Asuka dan pasangan beregu misteri yang menggantikan tempat Lana, Charlotte Flair yang membuat kemunculan semula selepas berehat sejak awal tahun ini.

Paling mengejutkan adalah di perlawanan kemuncak TLC apabila Randy Orton beraksi menentang The Fiend dalam perlawanan Firefly Inferno Match. Perlawanan yang menggabungkan aksi atletik dalam gelanggang dan sinematik ini dikelilingi dengan api yang marak menyala di setiap sudut di mana pemenang ditentukan apabila salah seorang peserta berjaya membakar lawan mereka.

Di hujung perlawanan, para WWE Universe terkesima apabila tubuh The Fiend dijilat api dan terbaring kaku di tengah gelanggang. Kesempatan itu diambil The Viper dengan mencurahkan minyak tanah ke tubuh Fiend, selajur membakar keseluruhan tubuh alter ego Bray Wyatt itu hingga rentung.


(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

 
 
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen