WWE TLC 2017: Gabungan Olympic-Shield menjadi, Pertembungan ‘amat manis’ AJ-Balor

Oleh Hafiz Azwany Taher 24 Oktober 2017 1058
WWE TLC 2017: Gabungan Olympic-Shield menjadi, Pertembungan ‘amat manis’ AJ-Balor
Setelah hampir sebelas tahun, Kurt Angle kembali beraksi di gelanggang WWE dengan mencipta kejayaan bersama pasangan Dean Ambrose dan Seth Rollins di acara WWE TLC semalam.

Perlawanan yang pada asalnya dijadualkan sebagai perlawanan ‘penyatuan semula’ trio The Shield ini terpaksa diubah saat akhir apabila Roman Reigns terpaksa dikesampingkan akibat mengalami masalah kesihatan dan tempatnya terpaksa digantikan oleh Pengurus Besar Raw sendiri iaitu Angle bagi mendepani saingan daripada lima penggusti berhaluan kiri utama jenama Raw: The Miz, Cesaro, Sheamus, Braun Strowman dan Kane.

Perlawanan yang menjadi acara kemuncak WWE TLC semalam sememangnya amat dinantikan kerana para WWE Universe amat merindui aksi pemenang pingat emas Olimpik tahun 1996 ini. Sedikit lucu apabila Angle muncul bersama The Shield dari celah-celah penonton dengan mengenakan seragam hitam The Shield dan bukannya pakaian lazimnya sebelum ini.



Dengan usia yang kini telah mencecah 48 tahun, para peminat tentu tertanya-tanya adakah Angle masih mampu mempamerkan aksi cemerlang sepertimana di tahun-tahun kegemilangannya dulu. Yang nyata, faktor usia dan masa persediaan yang terlalu singkat menyebabkan persembahan Kurt agak lemah dan kurang bertenaga menyebabkan ada peminat yang sedikit kecewa.
Di awal perlawanan, Kurt dilihat lebih banyak menjadi pemerhati ketika Ambrose dan Rollins sedang sibuk menguruskan pasukan lawan. Namun Kurt mula mempamerkan belang sebenarnya tidak lama selepas itu apabila sama-sama menumbangkan ahli pasukan The Miz satu persatu.

Dengan format perlawanan berat sebelah (handicap) tiga lawan lima, secara atas kertasnya memang sukar bagi pasukan Angle dan Shield untuk mengatasi asakan demi asakan daripada Miz dan sekutunya itu. Namun mereka bijak mencari peluang apabila membelasah satu persatu anggota pasukan lawan dengan menggunakan senjata seperti kerusi besi, tangga dan meja yang sememangnya sah untuk digunakan dalam perlawanan TLC ini.

Keadaan bertukar genting di pertengahan perlawanan apabila Kurt Angle yang dilihat agak mencungap untuk mengikut rentak perlawanan yang laju, telah terhempas keras di atas meja hasil kerja tangan Braun Strowman. Akibatnya, pasukan perubatan berkejar mendapatkan bekas Juara Dunia berganda ini bagi memeriksa kondisinya. Kurt nampaknya tidak berdaya untuk meneruskan perlawanan dan terpaksa dipapah ke belakang tabir.

Situasi tersebut mengundang padah buat Rollins dan Ambrose yang tinggal. Kelima-lima penggusti pihak lawan mula bersatu kembali dan bersepakat membelasah pasangan Juara Regu Raw ini tanpa simpati. Pergelutan terus melarat ke luar gelanggang sehingga semua terheret ke bahagian pentas utama.

Miz sebagai ketua pasukan sememangnya licik dan telah merangka strategi untuk benar-benar membenam The Shield. Tidak cukup dengan meja, tangga dan kerusi, sebuah lori sampah turut dibawa masuk ke arena untuk menyumbat Ambrose dan Rollins di belakangnya.

Walaupun berada dalam satu pasukan, namun untuk mengekalkan persefahaman dan kesepakatan bukanlah satu tugas yang enteng. Kane dan Strowman pula bergaduh sesama sendiri di bahagian pentas dan menerima satu gerakan Cekak Banting (chokeslam) yang kuat sehingga terperosok masuk ke lantai.

Bangkit semula daripada lelap yang sebentar, Strowman beralih arah dan mula menyerang ahli pasukannya sendiri. Ia seakan-akan menunjukkan yang Strowman telah muak berada dalam pasukan jahat dan ingin kembali ke pangkal jalan. Namun harga yang mahal terpaksa dibayar apabila semua bekas sekutunya bersatu tenaga membenam Strowman dan menghumbannya masuk ke dalam lori sampah.

Perlawanan yang kembali mengambil tempat di dalam gelanggang tidak lama kemudian seakan mendapat nafas baru. Lagu tema Kurt Angle berjudul Medal bergema di dalam arena Target Centre dan Kurt muncul kembali. Dengan semangat yang membuak-buak, Kurt mudah menyingkirkan Sheamus dan Cesaro semasa dalam perjalanan ke gelanggang. Satu Angle Slam tepat ke atas meja juga diberikan kepada Cesaro sebagai tanda ingatan tulus ikhlas.



Kane juga menerima bahananya apabila Ambrose dan Rollins bersatu merempuhnya sehingga terperosok di bahagian penjaga masa. Situasi ini menyebabkan The Miz keseorangan dan terpaksa mendepani Kurt yang akhirnya berpeluang memberikan pengalaman azab kunci buku lali Ankle Lock ke atasnya.



Perlawanan tiba di penghujungnya apabila Ambrose dan Rollins turut sama naik ke gelanggang dan menghadiahkan gerakan lutut serta hempasan kepada Dirty Deeds ke atas Miz. Sebagai penutup, gerakan penyudah lazim The Shield iaitu bantingan peledak ganda tiga (triple powerbomb) diberikan seterusnya memberikan kemenangan kepada trio Angle, Ambrose dan Rollins.

Ketika ditanya perasaannya dapat kembali bergusti bersama The Shield, Angle ketika ditembual dalam program Raw Talk menyatakan yang beliau berasa sangat bangga dapat beraksi semula dan tidak sangka mampu mempamerkan aksi yang baik walaupun setelah 11 tahun. Angle turut berpuas hati dengan prestasinya semalam walaupun tanpa persediaan yang lama.



Apabila ditanya adakah WWE Universe dapat menyaksikan Kurt Angle bergusti lagi selepas ini, Angle tidak menolak kemungkinan tersebut. Namun secara berjenaka, beliau mengatakan yang segalanya perlu mendapat izin daripada isterinya terlebih dahulu.

Yang pastinya, kebanyakan peminat masih mengharapkan Roman Reigns dapat beraksi semalam dan merasakan Shield agak kurang ‘umpph’ tanpa The Big Dog. Barangkali ini isyarat yang agak signifikan bahawa peminat telah mula menerima Roman seadanya setelah bertahun-tahun sering memberikan sorakan negatif kepada bintang tersebut.

‘2 Sweet’ buat AJ – Balor

Satu lagi perlawanan ‘bidan terjun’ namun amat dinantikan turut mendapat pujian dan kata-kata positif daripada peminat. Pertemuan buat pertama kali antara ‘Raja Jembalang’ Finn Balor dengan bintang dari Smackdown Live, Aj Styles ternyata memenuhi ekspektasi dan berjaya menampilkan sebuah perlawanan bertaraf lima bintang.

AJ yang menggantikan tempat Wyatt (yang juga mengalami masalah kesihatan seperti Roman) beraksi cemerlang walaupun hanya mendapat notis perlawanan ini dalam tempoh yang singkat. Harus diingat yang Balor dalam karakter ‘jembalang’nya ini tidak pernah lagi tewas di WWE dan ia bukanlah satu tugas yang mudah buat AJ.

Menyaksikan dua penggusti antara yang terbaik dalam dunia waktu ini bertempur sesama sendiri merupakan pengalaman yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Serangan demi serangan yang servisnya sentiasa bertukar tangan menyebabkan para peminat sesak nafas dan tertanya-tanya siapakah yang akan membawa pulang kejayaan dan menjadi yang lebuh baik antara keduanya.



Aksi akrobatik dan berisiko tinggi antara Balor dan AJ amat mendebarkan. Phenomenal Forearm, hurricarana dari tali paling atas gelanggang dan terjunan berani mati antara yang ditampilkan. Namun akhirnya, hanya seorang sahaja yang dinobatkan sebagai pemenang dan Finn Balor berjaya memperoleh kejayaan tersebut hasil tujahan padu kaki ke perut (Coup De Grace) AJ dari puncak tali gelanggang.



Para penonton pula semakin ‘histeria’ apabila pasca perlawanan, Balor dan AJ saling menunjukkan rasa hormat dan disudahi dengan sentuhan jari ‘2 Sweet’ sepertimana yang sering mereka lakukan semasa berada dalam gagasan Bullet Club di Jepun dulu. Menurut AJ di Twitter, apa yang mereka lakukan ini adalah sebagai tanda mereka mengingati dari mana mereka datang, dan ia tidak disuruh oleh sesiapa pun termasuk Vince McMahon sendiri.
 

Keputusan perlawanan lain:

1. Asuka cemerlang dalam perlawanan sulungnya di roster utama Raw dengan menewaskan Emma

2. Rich Swann dan Cedric Alexander tumpaskan pasangan Brian Kendrick dan Jack Gallagher

3. Alexa Bliss pertahankan Kejuaraan Wanita Raw dengan kecewakan Mickie James

4. Jason Jordan kalahkan Elias dengan kesudahan yang agak kontorversi oleh pengadil

5. Kalisto terlepas Kejuaraan Cruiserweight WWE kepada Enzo Amore hasil tusukan ibu jari ke mata

6. Sasha Banks tewaskan Alicia Fox di perlawanan sepak mula

Foto ihsan: WWE.com

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen