Ibarat kembali ke tahun 2010. Itulah aura yang dapat dirasai apabila bekas juara dunia beberapa kali dan bintang Hall Of Fame WWE Edge muncul sebagai pemenang perlawanan penyingkiran Royal Rumble untuk edisi 2021 yang berlangsung pagi tadi.

Tambah mengagumkan, Edge merupakan peserta pertama yang menyertai Rumble kali ini dan sempat melampiaskan dendam terhadap seterunya Randy Orton yang menjadi peserta kedua. Walau pun boleh dianggap bintang veteran dan telah berehat akibat kecederaan sejak Jun tahun lalu, Edge sebagai orang lama bijak mencari ruang dan peluang sehingga mampu bertahan lebih dari 58 minit di dalam gelanggang.

Faktor bekas pasangan regunya Christian yang menjadi peserta kejutan tahun ini juga sedikit sebanyak membantu kemenangan Edge apabila berjaya menyingkirkan gergasi Braun Strowman yang menjadi peserta ke 30 dan Seth Rollins yang sentiasa menghidu peluang untuk bergelar pemenang untuk kali kedua.

Selajur menyingkirkan The Messiah, Edge merasakan kemenangan telah menjadi miliknya. Rupanya Orton yang sebelum itu dibawa ke bilik persalinan akibat kecederaan lutut kembali secara tiba-tiba lantas melancarkan gerakan rentapan RKO ke atas Edge. Mujur Rated R Superstars mampu mengesampingkan usaha The Viper untuk menyingkirkannya dan akhirnya Orton tercampak ke luar gelanggang. Menyebabkan Orton kecewa kerana muslihat dan taktik kejinya tidak menjadi. Nama Edge diumum sebagai pemenang Royal Rumble 2021 dan akan menjadi pencabar utama kejuaraan utama di WWE di acara Wrestlemania edisi ke 37 pada penghujung Mac kelak.

Untuk rekod, ini merupakan kemenangan kali kedua untuk Edge di Royal Rumble di mana kali pertama beliau memenanginya pada tahun 2010. Bukan itu sahaja, Edge turut meletakkannya dalam senarai penggusti elit apabila masuk sebagai peserta pertama dan menang, mengulangi kejayaan yang sama pernah ditempa oleh Shawn Michaels pada tahun 1995, Vince McMahon pada tahun 1999, Chris Benoit pada tahun 2004 dan Rey Mysterio pada tahun 2006.

Bagi perlawanan Rumble wanita pula, Charlotte Flair nyaris memperoleh kemenangan untuk dua tahun berturut-turut. Namun persembahan cemerlang pendatang baharu Bianca Belair berjaya membantutkan niat tersebut apabila The Queen tersingkir hasil kerjasama The EST of WWE bersama dengan Rhea Ripley dari NXT.

Pujian juga wajar diberikan kepada Bianca Belair kerana dirinya merupakan peserta ketiga daripada 30 orang peserta dan berjaya membuktikan yang dirinya adalah bintang yang mampu menjadi pesaing hebat dalam divisyen wanita. Nama-nama yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon pemenang seperti Bayley, Alexa Bliss, dan Nia Jax semuanya tersasar apabila masing-masing tersingkir awal.

Royal Rumble 2021 menyaksikan beberapa bintang legenda yang muncul membuat kejutan seperti Victoria, Jillian Hall, dan Torrie Wilson dalam perlawanan Rumble wanita. Manakala selain Christian, The Hurricane dan Kane, bekas Juara Amerika Syarikat Carlito juga kembali beraksi setelah lebih sedekad tidak muncul di arena WWE.

Keputusan lain acara WWE Royal Rumble 2021:

1. Nia Jax & Shayna Baszler rampas Kejuaraan Beregu Wanita WWE daripada Asuka & Charlotte Flair hasil gangguan Lacey Evans dan Ric Flair

2. Drew McIntyre tumbangkan Goldberg dan pertahankan Kejuaraan WWE

3. Carmella tewas kepada Sasha Banks untuk Kejuaraan Wanita Smackdown

4. Roman Reigns kekal Juara Universal apabila mengenepikan cabaran daripada Kevin Owens dalam perlawanan Last Man Standing bagi Kejuaraan Universal WWE

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.