Prasangka WWE Universe yang bersarang sejak berminggu lalu terhadap Seth Rollins menjadi kenyataan apabila bekas Juara WWE itu menunjukkan belang sebenarnya di acara Raw minggu ini.

Muslihat Rollins itu telah mula dihidu oleh Kevin Owens apabila pasangan AOP (Authors of Pain) yang dianggotai Akam dan Rezar menyerangnya pada dua minggu lalu dan mendakwa bahawa Rollins adalah dalang sebenar di sebalik serangan tersebut.

Namun ia dinafikan oleh The Beast Slayer yang cuba berselindung dengan mencabar untuk bersemuka dengan AOP di awal siaran.

Berang kerana diserang beberapa kali oleh AOP, Owens nekad menjejaki AOP di belakang tabir dan merosakkan kenderaan yang dinaiki bekas Juara Beregu NXT itu sebelum diserang dari belakang oleh kedua bintang berbadan sasa tersebut. Mengejutkan apabila kelibat seorang individu dilihat berada dalam kenderaan AOP itu dan ternyata beliau adalah Rollins sendiri.

Ketiga mereka terus membelasah Owens yang lemah tidak berdaya dan serangan diakhiri dengan satu henyakan muka Curb Stomp oleh Rollins ke atas Owens di atas lantai konkrit menyebabkan Owens terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Dalam promonya tidak lama sesudah itu, Rollins meluahkan rasa kecewanya kepada WWE Universe yang selama ini sering menyuarakan ketidakpuasan hati mereka ke atas dirinya walaupun pelbagai usaha untuk memenangi hati peminat telah dilakukan.

Tanpa mengenal penat lelah dalam darah dan keringat, bertarung dalam belenggu kecederaan, membawa kembali Kejuaraan Universal daripada Brock Lesnar, namun beliau tetap dicemuh serta tidak dihormati para peminat yang seolah-olah tidak mahu berterima kasih.

Tambah Rollins lagi, kini sudah tiba masanya untuk beliau memulangkan paku buah keras dengan bersekongkol dengan AOP yang didakwa kini menjadi sekutu yang benar-benar memahami dirinya. Barangkali AOP mampu untuk menjadi anggota The Shield versi 2.0 untuk memastikan dominasi Rollins akan kekal di Raw.


Dalam satu lagi perlawanan, hasrat AJ Styles untuk meraih kembali Kejuaraan Amerika Syarikat yang dirampas Rey Mysterio pada dua minggu lalu terbantut apabila Randy Orton muncul mengganggu konsentrasinya di hujung perlawanan.

Walaupun The O.C. tampil membantu untuk merencatkan kelancaran perlawanan, namun Mysterio yang kekal lincah berjaya mengesampingkan segala kekacauan yang dicetuskan Gallows dan Anderson.

Kesudahannya, natijah daripada kemunculan The Viper yang muncul entah dari mana, AJ terperangkap dalam tindanan bergulung oleh Pakar 619 itu dan memungkinkan pengadil menyudahkan tiga kiraan pin.

Keputusan lain perlawanan Raw minggu ini:
1. Drew McIntyre kalahkan Matt Hardy
2. The Viking Raiders kekalkan Kejuaraan Beregu Raw dengan mengenepikan cabaran Street Profits
3. Aleister Black tundukkan Akira Tozawa
4. Humberto Carillo kecewakan Andrade
5. Buddy Murphy kalahkan Zack Ryder
6. Kabuki Warriors tewas secara pembatalan DQ kepada Juara Wanita Raw Becky Lynch

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Tables, Ladders & Chairs (TLC) pada 16 Disember ini dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.


Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.