Bekas Juara Universal WWE, Roman Reigns membawa perkhabaran gembira buat semua WWE Universe di acara Raw semalam apabila membuat pengumuman yang dirinya akan kembali beraksi di pentas WWE setelah hampir 5 bulan berehat akibat serangan leukemia.

Roman yang kelihatan sedikit cengkung disambut dengan sorakan dan kata-kata semangat oleh seluruh penonton yang membanjiri State Farm Arena, Atlanta. Ujar Roman, beliau telah menerima pelbagai ucapan dan doa daripada banyak pihak sejak mengundur diri pada Oktober tahun lalu. Dan hasilnya, semangat juangnya untuk bergusti dengan leukemia membuahkan hasil apabila penyakit tersebut kini telah pulih dan sekaligus mengizinkannya untuk kembali aktif bergusti.

Roman turut menegaskan yang beliau akan menggunakan pentas WWE untuk melaksanakan kempen kesedaran tentang penyakit tersebut dan akan membantu mereka yang mengalami nasib yang serupa dengannya.

Di pertengahan acara, Roman dan rakan baiknya Seth Rollins telah sama-sama berganding bahu mendepani Drew McIntrye, Bobby Lashley, Baron Corbin dan Elias yang sebelum itu mengkeronyok Dean Ambrose pasca perlawanannya dengan The Scottish Psychopath. Bantuan yang dihulurkan oleh Roman dan Rollins membuatkan Ambrose terpinga-pinga seketika. Manakan tidak, Ambrose telah memilih untuk mengkhianati Rollins di malam yang sama berundurnya Roman pada Oktober lalu, seterusnya membuatkan trio The Shield terbubar akibat tindakan keji The Lunatic Fringe itu.



Dalam satu lagi perkembangan lain, WWE Universe sekali lagi terkesima apabila bekas Juara Heavyweight Dunia WWE yang kini merupakan bintang Hollywood tersohor, Batista membuat kemunculan semula dalam situasi yang amat di luar jangkaan.

Ketika segmen kemuncak Raw yang menyaksikan para bintang termasuk lagenda WWE seperti Shawn Michaels, Ricky ‘The Dragon’ Steamboat dan Sting bersedia untuk meraikan hari ulangtahun kelahiran ke 70 bintang Hall Of Fame WWE Ric Flair, bapa kepada Charlotte Flair itu tidak memunculkan diri semasa lagu temanya berkumandang membuatkan semuanya ternanti-nanti.

Tiba-tiba dari belakang tabir, kelihatan Batista menarik seorang jurukamera bagi merakam tindakannya yang membelasah The Nature Boy di dalam bilik persalinan sebelum mengheret bintang veteran itu di lantai.

“Hei Hunter! Aku dah tarik perhatian kau kan?” pertanyaan provokasi berbaur cabaran Batista kepada Triple H, membuatkan Ketua Pegawai Operasi WWE itu bergegas ke belakang tabir untuk mendapatkan Batista yang cabut lari selepas itu.

Untuk rekod, Batista telah mengacah Triple H untuk menentangnya ketika sambutan episod ke 1000 Smackdown tahun lalu. Dengan apa yang berlaku ini, tidak mustahil para peminat bakal menyaksikan Batista bertemu Triple H sekali lagi di pentas Wrestlemania tahun ini.

Keputusan lain:
1. Richocet & Aleister Black tumbangkan Juara Beregu Raw The Revival
2. Kurt Angle kalahkan Jinder Mahal
3. Juara Antara Benua Finn Balor tumpaskan Lio Rush
4. Bayley tewaskan Nia Jax

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acaraWWEFastlane pada 11 Mac depan dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.