WWE Raw: Lashley akhirnya Juara WWE

Oleh Hafiz Azwany Taher 2 Mac 2021 3377
WWE Raw: Lashley akhirnya Juara WWE
Penantian selama 17 tahun akhirnya terbayar apabila Bobby Lashley berjaya menobatkan dirinya sebagai Juara WWE di acara Raw hari ini.

Setelah The Miz memperoleh kejuaraan tersebut hasil bantuannya di acara WWE Elimination Chamber dengan menumbangkan Drew McIntyre dua minggu lalu, Lashley telah menuntut haknya untuk menjadi pencabar kejuaraan tertinggi di jenama Raw di acara Raw minggu lalu. Setelah berjaya mengenepikan cabaran daripada Braun Strowman, Lashley sekaligus berjaya mengesahkan tempat untuk beraksi menentang The Miz di acara Raw minggu ini.

Belum puas bengkung kejuaraan itu tersandang di bahunya, The Miz melakukan pelbagai helah untuk mengelak daripada bertemu Lashley. Malah Miz berusaha memujuk Lashley dan penasihatnya MVP agar menangguhkan perlawanan  mereka di acara kemuncak Wrestlemania pada April depan dengan mendakwa ia adalah tempat lebih berprestij untuk Lashley bergelar juara.

Namun usaha itu sia-sia apabila Lashley tidak termakan pujuk rayu tersebut. Akhirnya loceng tetap dibunyikan menandakan perlawanan bermula. Tanpa disangka, Miz terus ke luar gelanggang dan membawa lari bengkung Kejuaraan WWE bersamanya. The Miz tewas secara kiraan keluar, namun kejuaraan tidak boleh bertukar tangan dengan kaedah kemenangan tersebut.

Barangkali ingin menjaga kredibiliti kejuaraan terulung tersebut, Shane McMahon mengarahkan perlawanan diadakan semula di acara kemuncak Raw. Bagi memastikan Miz tidak lagi lari keluar menyelamatkan diri dan kejuaraannya, sejumlah bintang Raw ditampilkan di luar gelanggang, menjadikan format perlawanan ditukar kepada perlawanan LumberJack.

Miz cuba menyerang Lashley menggunakan bengkung kejuaraan agar dirinya tewas secara disqualification, selajur mempertahankan kejuaraannya. Mujur Lashley dapat mengelak dan membelasah The Miz tanpa belas kasihan. Sebuah perlawanan ibarat main eventer menentang jobber jadinya. Begitu mudah Miz dibelasah dan akhirnya terpaksa menyerah kalah dengan gerakan maut Hurt Lock oleh Lashley.



Kemenangan ini seterusnya menamatkan terus ego The Miz yang selama dua minggu ini begitu mendabik dada berlagak sebagai juara. Dan Lashley juga dilihat telah menempah tempatnya di acara Wrestlemania dengan bergelar Juara WWE sambil menantikan siapakah bakal pencabarnya di acara itu kelak.

Antara nama yang dijangka akan mencabar Lashley adalah nama seperti Drew McIntyre, Braun Strowman, Sheamus dan jika tiada calon yang sesuai, tidak mustahil Brock Lesnar yang telah setahun berehat panjang sejak acara Wrestlemania tahun lalu. Ia sekaligus menunaikan impian Lashley yang sekian lama mendambakan untuk bertarung satu lawan satu dengan penggusti bergelar The Beast itu.

Namun jangan dilupa, ada satu lagi perhentian yang perlu dilalui Lashley sebelum sampai ke Wrestlemania iaitu WWE Fastlane pada 22 Mac depan. Pelbagai perkara boleh berlaku dan Lashley sewajarnya mempersiapkan fizikal dan mentalnya dalam mendepani sesiapa sahaja yang berhajat untuk merampas kejuaraan yang kini menjadi miliknya.

Kemenangan Lashley ini juga mencipta rekod tersendiri di mana beliau adalah bintang African-American kedua yang memenangi Kejuaraan WWE selepas Kofi Kingston pada tahun 2019 yang lalu.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Fastlane pada 22 Mac ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen