WWE NXT Takeover: Charlotte Flair sah cabar Rhea Ripley di Wrestlemania

Oleh Hafiz Azwany Taher 17 Februari 2020 204
WWE NXT Takeover: Charlotte Flair sah cabar Rhea Ripley di Wrestlemania
Teka-teki siapakah bakal dipilih Charlotte Flair untuk menjadi lawannya di acara gilang gemilang Wrestlemania edisi 2020 terjawab apabila membuat kemunculan di acara NXT Takeover pagi ini dan mengumumkan bahawa dirinya memilih Juara Wanita NXT Rhea Ripley sebagai lawannya kelak.

Pemenang Royal Rumble wanita 2020 itu mengejutkan NXT Universe apabila bertindak menyerang Rhea Ripley yang baru sahaja selesai mempertahankan kejuarannya dalam sebuah perlawanan sengit dengan Bianca Belair sebelum itu. Tidak cukup dengan Rhea, Belair turut menerima tempias apabila turut dibelasah di luar gelanggang sebelum anak gadis lagenda Ric Flair itu meninggalkan arena.

Konfrontasi antara Ripley dan Charlotte bermula beberapa minggu lalu di acara Raw ketika bekas juara berganda itu ingin mengumumkan kejuaraan manakah bakal dicabarnya di acara Wrestlemania April depan. Sebagai pemenang Royal Rumble, The Queen bebas memilih mana-mana kejuaraan wanita sama ada di Raw atau Smackdown, kerana keduanya merupakan kejuaraan utama yang menjadi rebutan setiap bintang wanita di kedua-dua jenama.

Namun tanpa disangka, Rhea Ripley selaku Juara Wanita NXT menghulurkan cabaran kerana rekod telah membuktikan bahawa Charlotte telah pun mempunyai sejarah berdepan Juara Wanita Raw Becky Lynch dan Juara Wanita Smackdown Bayley sebelum ini. Justeru, cabaran baharu diajukan dan Rhea ingin melihat sama ada Charlotte mampu menundukkannya atau sebaliknya.

Untuk rekod, Rhea Ripley merupakan individu yang bertanggungjawab memimpin pasukan wanita NXT menewaskan pasukan wanita Raw dan Smackdown serta berjaya menindan Charlotte secara bersih di acara WWE Survivor Series pada November lalu.

Situasi ini pastinya amat menarik kerana buat pertama kalinya, Kejuaraan Wanita NXT akan dipertandingkan di pentas Wrestlemania, sekaligus menaikkan lagi prestij kejuaraan tersebut ke tahap yang lebih tinggi. Ia secara tidak langsung meletakkan jenama NXT berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan jenama Raw dan Smackdown.

Sebagai bekas Juara Wanita NXT semasa mula-mula bertanding di jenama tersebut sekitar tahun 2014, Charlotte pastinya ingin mengulangi kejayaannya dan membuktikan bahawa NXT adalah jenama yang dibinanya selama ini dan Rhea Ripley dan semua bintang NXT ketika ini patut berterima kasih padanya.

Keputusan lain NXT Takeover Portland:
1. Adam Cole pertahan Kejuaraan NXT dengan menewaskan Tommaso Ciampa
2. The Broserweights rampas Kejuaraan Beregu NXT daripada Bobby Fish & Kyle O’ Reilly
3. Finn Balor tumbangkan Johny Gargano
4. Dakota Kai tumpaskan Tegan Nox dalam perlawanan Street Fight
5. Keith Lee kekalkan Kejuaraan NXT Amerika Utara dengan mengenepikan cabaran daripada Dominik Dijakovic

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Super Showdown pada 28 Februari ini serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen