Sekali lagi amanah yang dipertanggungjawabkan untuk merampas Kejuaraan Universal WWE milik Brock Lesnar menemui jalan buntu apabila Braun Strowman gagal melunaskan misinya apabila tewas di acara No Mercy semalam.

Dalam perlawanan kemuncak tersebut, Strowman bermula garang apabila gerakan lontar belakang Kota Suplex oleh Lesnar tidak memberi sebarang kesan kepadanya. Malah, ia dibalas pula dengan satu gerakan cekak banting (choke slam) yang amat padu menyebabkan minit-minit awal perlawanan didominasi oleh Strowman.

Gerakan penyudah larian berhempas padu (running powerslam) juga berjaya dilancarkan oleh Strowman. Malang sekali ia belum cukup untuk menjadi senjata pelali bagi menundukkan The Beast yang masih gagah walaupun agak lelah hasil gerakan tersebut.

Rentak perlawanan mula berubah apabila Lesnar berjaya memerangkap Strowman di bucu gelanggang dan mengunci lengan kiri gergasi itu dengan Kunci Kimura. Perangkap yang amat kemas dan kejap itu berjaya membuatkan Strowman mula tidak berdaya dan terduduk di lantai gelanggang.

Lima gerakan Suplex diberikan bertubi-tubi kepada Strowman. Setelah pasti yang Strowman telah lembik tidak berdaya, Lesnar mengangkatnya ke bahu untuk serangan seterusnya. Namun ia rupanya hanya helah Strowman untuk menghadiahkan satu lagi hempasan larian padu kepada Lesnar.



Peluang yang telah terhidang walaubagaimana pun gagal dimanfaatkan sebaiknya. Strowman mengambil masa yang lama untuk menindan Lesnar dan ruang ini dimanfaatkan Lesnar untuk bangkit lantas memberikan Pusingan Beliung F5 kepada Strowman. Tindanan pin terus dilakukan dan pengadil menyudahkan tiga kiraan pin. Lesnar kekal juara dan tersenyum ceria.

Kemenangan ini memberi isyarat yang kemungkinan Lesnar akan terus menjadi juara untuk satu jangka masa yang lebih lama. Cubaan demi cubaan daripada barisan pencabar seperti Samoa Joe, Strowman dan Roman Reigns masih belum mampu menundukkannya. Tidak mustahil, kejuaraan utama Raw ini akan kekal tersemat di bahu Lesnar hingga ke acara Wrestlemania tahun hadapan, jika momentum kemenangan sebegini dapat dikekalkan untuk beberapa lagi siri acara bulanan akan datang sehingga menutup tirai 2017.

Roman Reigns luaskan jajahan



Bercakap tentang Roman, mungkin hanya beliau sahaja kini calon yang benar-benar layak untuk mendepani Lesnar. Tambahan pula, Roman cemerlang di acara No Mercy semalam apabila berjaya menundukkan John Cena dalam perlawanan yang amat mendebarkan.

Melalui gerakan kombo rempuhan bahu yang disusuli dengan tumbukan layang Superman, Roman megah diisyhtiharkan sebagai pemenang walaupun mendapat tentangan yang sengit daripada bekas Juara Dunia WWE sebanyak 16 kali itu.

Pasca perlawanan, kedua bintang utama ini saling berjabat tangan sebagai tanda semangat kesukanan yang tinggi sambil Cena memberikan ucapan tahniah kepada Roman. Ia juga merupakan simbolik yang menunjukkan baton bintang utama kini berpindah tangan kepada Roman setelah Cena menggalas tugas itu sejak 12 tahun yang lalu.

Lambaian Cena kepada peminat sebelum berlalu juga seolah-olah membayangkan yang masanya untuk beransur pergi telah tiba. Tiada apa lagi yang ingin dikejar beliau di WWE. Pelbagai komitmen luar seperti lakonan dan pengacaraan kini menanti Cena yang seakan menuruti langkah Dwayne “The Rock” Johnson untuk melebarkan sayap ke dunia glamor Hollywood pula selepas ini.

Namun ketika ditembual dalam program Raw Talk selepas itu, Cena menegaskan yang karier WWE nya masih panjang dan akan sentiasa dekat dengan WWE. Cuma peminat boleh menjangkakan yang dirinya tidak akan seaktif dulu kerana kerja luar sentiasa memerlukannya. Cena tidak akan hilang, cuma situasi tidak lagi seperti dulu.

Cesaro hilang gigi



Karma seakan menimpa buat Cesaro dan Sheamus apabila gagal merampas Kejuaraan Regu Raw daripada pasangan Dean Ambrose dan Seth Rollins. Setelah Sheamus pada Mei lalu telah menendang muka Jeff Hardy sehingga menyebabkan Jeff patah sebatang gigi, kini Cesaro pula menerima bahananya.

Pada satu ketika, bintang Switzerland itu telah terhantuk ke tiang bucu gelanggang setelah ditujah Ambrose. Kelihatan darah berjejeran di bahagian mulut Cesaro. Rupanya hantukan tersebut telah menyebabkan tiga gigi depan Cesaro patah dan terperosok masuk ke dalam gusi sedalam 3-4 milimeter.



Namun pujian wajar diberikan kepada Cesaro kerana beliau masih mampu meneruskan perlawanan sehingga akhir. Para pekerja di belakang tabir turut sama meraikan semangat juang Cesaro dan beliau telah menerima rawatan awal serta dijangka menjalani pembedahan bagi membetulkan semula giginya.



Mungkinkah ‘sembang’ Enzo semakin panjang selepas ini?

Perlawanan ini tidak berapa diambil kisah oleh sebahagian besar WWE Universe (termasuk penulis) kerana keputusannya dapat dijangka. Enzo Amore telah dijadualkan bertemu Juara Cruiserweight WWE, Neville dan seperti kebiasaan, Enzo menjadi lauk belasahan sepanjang perlawanan.

Namun momentum berubah 360 darjah apabila Enzo berjaya mengalih perhatian pengadil dan dengan tidak bermaruahnya, menendang celah kelangkang Neville menyebabkan Neville mengah dan tidak berdaya. Tindanan dilakukan dan Enzo dinobat sebagai juara baharu.



Rata-rata WWE Universe amat terkejut dengan keputusan ini kerana merasakan Enzo tidak layak sama sekali untuk menjadi juara. Kemenangan dengan cara kotor itu sekaligus seakan menghina seluruh divisyen Cruiserweight yang selama ini berhempas pulas membanting tulang bagi memastikan kelangsungan divisyen ini di WWE.

Beberapa bintang 205 Live juga dilihat telah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka di laman Twitter masing-masing. Ditambah lagi dengan kenyataan Enzo yang mendakwa dirinya adalah bintang Cruiserweight paling hebat waktu ini semasa ditembual dalam program Raw Talk.
Penulis secara peribadi berharap agar keseluruhan divisyen Cruiserweight akan bersatu dalam mendepani ego Enzo yang pastinya akan semakin melebar selepas ini. Sesuatu perlu dilakukan agar bintang bermulut lancang ini dapat memahami erti penyesalan.

Keputusan lain acara No Mercy semalam:

1. Alexa Bliss kekal juara dengan mengenepikan empat lagi pencabarnya iaitu Emma, Bayley, Sasha Banks dan Nia Jax

2. Finn Balor tumpaskan Bray Wyatt

3. The Miz tewaskan Jason Jordan seterusnya mengekalkan Kejuaraan Antara Benua


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view lain setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.