WWE Fastlane 2021: Edge semakin berang

Oleh Hafiz Azwany Taher 22 Mac 2021 1357
WWE Fastlane 2021: Edge semakin berang

Perjalanan menuju ke acara Wrestlemania bertambah hangat apabila perlawanan kemuncak di antara Juara Universal WWE Roman Reigns dan Daniel Bryan berlangsung di acara WWE Fastlane pagi tadi.

Setelah layak bergelar pencabar utama Kejuaraan Universal di acara Smackdown beberapa minggu lalu, Daniel Bryan membuktikan yang dirinya masih lagi merupakan seorang penggusti hebat dan berusaha untuk kembali bergelar juara dengan memberikan saingan sengit kepada Roman Reigns yang semakin angkuh dari hari ke hari sejak bergelar juara tahun lalu.

Bagi memastikan kelancaran perlawanan tanpa sebarang gangguan pihak luar, pencabar utama Kejuaraan Universal di Wrestlemania bulan hadapan iaitu Edge menggalas tanggungjawab sebagai penguatkuasa khas dan memantau rapi perlawanan yang berlangsung.

Satu spear yang padu oleh Roman kepada Bryan nyaris memberikan kemenangan awal buat The Tribal Chief. Namun oleh kerana sebelum itu pengadil bertugas telah pengsan tidak sedarkan diri akibat layangan lutut oleh Bryan yang tersasar, menyebabkan tiada pengadil yang membuat kiraan dan Edge terus melaksanakan tugasnya membuat kiraan tapi berjaya dihentikan oleh Bryan pada kiraan kedua.

Sepupu merangkap orang suruhan Roman, Jey Uso tiba-tiba muncul dengan memberikan superkick terhadap Bryan dan Edge bagi membantu Roman. Tidak cukup dengan itu, kerusi besi dibawa naik bersama bagi membelasah Bryan. Mujur ia berjaya dielak dan Bryan cuba memukul Roman menggunakan kerusi besi itu. Malang sekali apabila ia berjaya dielak dan kerusi itu mengenai Edge yang kebetulan berada di situ.

Natijahnya, kunci Yes Lock yang berjaya dilaksanakan ke atas Roman tidak dipedulikan oleh Edge walaupun Roman telah menepuk lantai gelanggang tanda menyerah. Malah, Bryan pula dihentak dengan kerusi tanpa simpati oleh Edge dengan mendakwa segalanya yang ada pada waktu ini adalah miliknya selajur meninggalkan gelanggang dan membuatkan para penonton terkeliru dengan tindakan tersebut.

Melihatkan Bryan tidak lagi bermaya, Roman menyusup masuk ke gelanggang dan terus menindan bekas Juara WWE itu seterusnya mengekalkan Kejuaraan Universal untuk beberapa ketika lagi.

Melihatkan senario yang berlaku ini, perlawanan bagi merebut Kejuaraan Universal WWE di antara Roman Reigns dan Edge di acara Wrestlemania bulan hadapan berkemungkinan besar akan bertukar menjadi tiga penjuru dengan penyertaan masuk Daniel Bryan yang pastinya akan membuat tuntutan perlawanan semula setelah ketidakadilan yang berlaku.

Keputusan perlawanan lain acara WWE Fastlane:

1. Juara Amerika Syarikat Riddle kalahkan Mustafa Ali

2. Juara Beregu Wanita Nia Jax & Shayna Baszler tewaskan Bianca Belair & Juara Wanita Smackdown Sasha Banks

3. Braun Strowman benam Elias yang menggantikan tempat Shane McMahon

4. Big E pertahan Kejuaraan Antara Benua dengan menumpaskan Apollo Crews

5. Seth Rollins tundukkan Shinsuke Nakamura

6. Drew McIntyre tumbangkan Sheamus dalam perlawanan tanpa sekatan

7. Alexa Bliss tewaskan Randy Orton hasil bantuan The Fiend yang kembali semula setelah dibakar hidup-hidup di acara WWE TLC Disember tahun lalu.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Wrestlemania pada 11 & 12 April ini serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen