Hasrat Jinder Mahal untuk menutup tirai 2017 sebagai Juara WWE sebanyak dua kali tidak menjadi kenyataan apabila tewas kepada AJ Styles di acara WWE Clash Of Champions (COC), semalam.

Dengan tekad mahu menebus semula kekalahan kepada AJ bulan lalu, Jinder berazam mahu merampas kembali Kejuaraan WWE yang kini terlilit megah di pinggang AJ dalam perlawanan kemuncak di acara PPV eksklusif Smackdown Live tersebut.



Dengan fizikal dan berat badan yang lebih besar iaitu 108 kilogram berbanding AJ yang hanya seberat 99 kilogram, Jinder dilihat lebih banyak mendominasi di minit-minit pertama perlawanan. Justeru, AJ mengubah strategi dengan mensasarkan lutut Jinder agar bintang Kanada berdarah Punjabi itu tidak dapat berdiri dengan sempurna sepanjang perlawanan.

Namun Jinder nampaknya tidak mudah membuka ruang untuk AJ menguasai dirinya. Menggunakan kelebihan kudrat yang ada, Jinder membalas dengan melontar AJ ke luar gelanggang malah sempat mengheret AJ ke ruang penjaga masa menyebabkan bintang kesukaan ramai berusia 40 tahun itu terhempas ke besi penghadang tepat ke bahagian rusuknya.

Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jinder dengan terus melakukan serangan ke bahagian rusuk AJ. Menjadikan perlawanan ini tambah sengit dengan pelbagai cubaan tindanan oleh kedua-dua penggusti.

Situasi bertukar genting apabila Singh Brothers yang mengiringi Jinder di luar gelanggang turut masuk campur. Belum sempat pengadil menghalau keduanya, AJ membazirkan sedikit kudratnya dengan menyerang Sunil dan Samir serta sempat menghadiahkan gerakan penyudah Styles Clash kepada Samir agar tidak lagi masuk campur.



Jinder hampir bergelar juara apabila sempat mengenakan gerakan penyudah bantingan Khalass kepada AJ. Mujur AJ masih lagi mempunyai sisa-sia tenaga dengan menafikan kiraan ketiga pengadil selajur menyebabkan Jinder terpana dan tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Memanfaatkan lutut Jinder yang telah pun cedera di awal perlawanan, AJ lantas mengenakan kunci kaki Calf Crusher ke atas Jinder. Cubaan Maharaja Moden menggapai tali gelanggang untuk melepaskan diri juga tidak menjadi apabila AJ terus mengheretnya ke tengah gelanggang. Dengan kesakitan yang tidak lagi mampu diterima, Jinder menepuk lantai gelanggang sebagai tanda menyerah kalah dan terpaksa akur kepada kehebatan AJ Styles.



Biarpun tewas, namun pujian wajar diberikan kepada Jinder kerana berjaya mempamerkan aksi yang mengagumkan serta berupaya menonjolkan kehebatan dirinya yang sebenar tanpa bantuan yang banyak daripada Singh Brothers seperti sebelum ini.

Yang pasti, sesuatu perlu dilakukan Jinder selepas ini untuk terus relevan di kalangan WWE Universe kerana dijangka dirinya tidak akan lagi termasuk dalam kelompok perebutan Kejuaraan WWE di Smackdown selepas ini. Mungkin telah tiba masanya Jinder beralih kepada kejuaraan lain seperti Kejuaraan Amerika Syarikat.

Berbicara tentang Kejuaraan Amerika Syarikat, hanya gelaran ini sahaja nampaknya yang bertukar tangan di acara COC semalam. Dipertandingkan dalam format tiga penjuru di antara sang juara Baron Corbin, Dolph Ziggler dan Bobby Roode, perlawanan pembuka tirai ini nyata mampu menggamit perhatian penonton sehingga kiraan terakhir dengan kualiti perlawanan yang amat menghiburkan.

Dolph Ziggler mengenepikan ramalan banyak pihak yang lebih meletakkan kepercayaan kepada Bobby Roode apabila tampil sebagai pemenang hasil gerakan ZigZag yang cantik ke atas Corbin.



Kemenangan ini dilihat mampu mengembalikan nama Ziggler ke persada kegemilangan selepas dilihat agak sendu sejak tahun lalu dan tidak berapa diambil serius oleh WWE Universe. Ini juga merupakan kali kedua Ziggler bergelar Juara Amerika Syarikat dan sudah pasti mantan juara Baron Corbin akan melakukan sesuatu untuk merampas kembali kejuaraan daripada Ziggler.

Sahabat selamanya Kevin Owens dan Sami Zayn pula boleh menarik nafas lega kerana berjaya mengelak daripada dipecat WWE apabila beroleh kemenangan ke atas Randy Orton dan Shinsuke Nakamura semalam.



Menariknya, perlawanan ini berlangsung dalam situasi yang agak kucar-kacir kerana buat pertama kalinya, sebuah perlawanan diadili oleh dua orang pengadil yang berada serentak dalam gelanggang iaitu Daniel Bryan dan Shane McMahon.



Ibarat sebuah bahtera yang dikawal oleh dua orang nakhoda, Shane dan Bryan tidak sepakat dalam beberapa perkara dan pada satu saat, Bryan seakan sengaja mengganggu kiraan pin oleh Shane semasa Orton menindan Zayn hasil satu gerakan RKO yang cantik.

Bryan sedar yang Shane masih berdendam dengan Owens dan Zayn atas apa yang telah berlaku di acara Survivor Series bulan lalu. Kesumat Shane itu menjadi sudah terang lagi bersuluh apabila tindanan pin oleh Zayn ke atas Orton sengaja tidak dihabiskan menyebabkan Daniel menjadi berang atas tindakan kurang profesional Shane.



Enggan menjadikan situasi bertambah panas, Daniel membuat tiga kiraan pin yang pantas semasa Zayn menindan Orton menyebabkan Shane terkesima dan hanya mampu berputih mata kerana gagal memecat Owens dan Zayn keluar dari WWE.

Dijangka, akan wujud pakatan antara Owens, Zayn dan Bryan selepas ini bagi mendepani Shane yang masih terbelenggu dengan amarah kepada pasangan Kanada itu. Silap-silap, Daniel selaku Pengurus Besar Smackdown akan terus berpihak serta berhaluan kiri bersama KO dan Zayn dan mencipta pakatan baharu yang akan terus menggegar jenama Smackdown Live di masa akan datang.

Keputusan lain COC:

1. The Usos kekalkan Kejuaraan Regu Smackdown dengan menewaskan pasangan Aiden English & Rusev, Gable & Benjamin dan The New Day dalam perlawanan empat penjuru

2. Natalya tewas kepada Charlotte Flair dalam perlawanan Lumberjacks bagi Kejuaraan Wanita Smackdown

3. Breezango tewas mudah kepada The Bludgeon Brothers

Foto ehsan: WWE.com

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,
WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.