Buang yang keruh, ambil yang jernih. Barangkali itulah ungkapan paling tepat bagi menggambarkan hubungan antara WWE dengan Jeff Jarrett yang sekian lama tercalar sejak hampir dua dekad lalu.

Tahun 2017 nampaknya tidak berapa menyebelahi nasib buat pengasas Total Nonstop Action Wrestling (TNA) dan Global Force Wrestling (GFW) ini apabila bintang lagenda berusia 50 tahun ini dilaporkan mengalami masalah peribadi sehingga menyebabkannya mengalami ketagihan alkohol pada tahap yang membimbangkan.



Semuanya seakan tidak menjadi. Hasratnya untuk melebarkan lagi legasi GFW tidak menjadi kenyataan apabila koloborasinya dengan Anthem Sports & Entertainment yang merupakan pemilik Impact Wrestling (dulu TNA) terhenti sekerat jalan. Jeff telah dipecat daripada Impact kerana tidak hadir bertugas dalam satu jangka masa yang agak lama tanpa sebarang notis.

Syarikat yang berpangkalan di Kanada ini tidak dapat lagi menerima alasan ‘masalah peribadi’ dan memutuskan untuk menghentikan segala kerjasama dengan GFW. Bukan itu sahaja, akronim GFW juga turut digugurkan daripada segala program TV Impact Wrestling.

Keadaan bertambah buruk apabila baru-baru ini, portal Pro Wrestling Sheet melaporkan yang Jeff Jarrett telah tumbang tidak sedarkan diri di bilik persalinan akibat mabuk. Namun tetap berkeras untuk bergusti untuk syarikat indie di Kanada tersebut dalam keadaan yang amat menyedihkan.



Insiden tersebut telah mengundang persepsi negatif buat anak kepada lagenda Jerry Jarrett ini. Beberapa promotion bebas seperti Wrestlecade turut membatalkan nama Jarrett daripada terlibat dengan program mereka kerana enggan menghadapi masalah di kemudian hari.

Enggan melihat suami tercinta terus dirundung derita, isteri Jarret, Karen (bekas isteri Kurt Angle) dilapor menebalkan muka dengan menghubungi pihak WWE agar membantu suaminya itu keluar daripada belenggu ketagihan alkohol melalui program pemulihan syarikat milik Vince McMahon itu. Mungkin tiada sebarang alternatif yang lebih baik, Jarrett bersetuju untuk menyertai program pemulihan ini dan telah memasuki fasiliti tersebut bermula semalam.



Untuk rekod, WWE sebagai sebuah syarikat terkemuka telah menyediakan satu program pemulihan buat semua bintangnya termasuk bekas pekerja mereka yang terlibat dengan masalah ketagihan seperti alkohol dan dadah. Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang pernah bersama WWE tanpa mengambil kira latar belakang mereka sebelum ini.

Antara bintang yang pernah menyertai program pemulihan ini adalah seperti Sunny, mendiang Davey Boy Smith (British Bulldog), Jake “The Snake” Roberts, Scott Hall dan ramai lagi.

Ironinya, umum mengetahui tentang bagaimana keruhnya hubungan antara Jeff Jarrett dengan WWE, khususnya Vince McMahon sebelum ini. Lewat tahun 1999, Jarrett telah meninggalkan WWE untuk menuruti jejak rakannya Vince Russo untuk berhijrah ke World Championship Wrestling (WCW) dalam keadaan yang tidak berapa baik untuk kedua belah pihak.



Kontroversi tercetus apabila Jarrett dikatakan meminta bayaran sebanyak US$300,000 hanya untuk tewas dan hilang Kejuaraan Antara Benua WWE kepada Chyna di acara WWE No Mercy 1999. Atas kelalaian bahagian pentadbiran, mereka terlepas pandang yang kontrak Double J telah tamat sehari sebelum perlawanan tersebut dan mereka terpaksa membayar jumlah yang diminta Jarrett bagi mengelakkan implikasi yang lebih buruk kerana Jarrett bergusti tanpa kontrak.

Mungkin kerana itu, Vince McMahon terus menyimpan kesumat terhadap Jarrett. Vince beroleh kesempatan untuk membalas dendam terhadap Jarrett apabila di acara WWE Monday Night Raw edisi 26 Mac 2001, Vince telah memecat Jarrett yang ketika itu masih berkhidmat dengan WCW dalam siaran yang juga edisi terakhir WCW Monday Nitro, susulan pembelian WCW oleh WWE.



Nama Jarrett turut tercicir daripada senarai bintang WCW yang diserapkan WWE ketika itu. Ia menyebabkan Double J hilang punca pendapatan dan terpaksa bergusti di arena sirkit bebas untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dengan sedikit modal yang ada, Jarrett dan bapanya Jerry mengasaskan TNA pada 2002 dan pernah menjadi pesaing sengit WWE sejak 2005 hingga 2012.

Tindakan WWE memberi bantuan kepada Jarrett tanpa mengira segala sejarah hitam antara kedua belah pihak ini sewajarnya harus dipuji. Sebagai bekas Juara Antara Benua antara yang terhebat dalam sejarah, WWE suka atau pun tidak, tidak boleh menafikan segala sumbangan Jarrett kepada industri gusti profesional selama ini.



Mungkin hikmah daripada segala yang berlaku ini, akan memulakan lembaran baharu buat Jarrett dan WWE selepas ini. Tidak mungkin Jarrett akan melupakan begitu sahaja segala apa yang telah dilakukan WWE ini dan tidak mustahil, Double J akan kembali semula ke pangkuan Vince McMahon di masa akan datang.

Kembalinya Double J sudah tentu akan mengujakan para peminat gusti di seluruh pelusuk alam. Dengan idea kreatifnya, JJ mampu untuk memberi sumbang saran yang bermanfaat untuk produk WWE. Mungkin beliau juga boleh bergabung semula dengan Brian James (Road Dogg) yang kini menjawat jawatan dalam pasukan kreatif WWE dan sama-sama menaiktaraf jalan cerita dan booking di WWE.



Semoga masa depan dan prospek yang cerah akan menanti Jeff Jarrett selepas ini. Jika kena dengan gayanya, gelaran WWE Hall Of Famer untuk kelas 2018 pasti akan menanti jaguh dari Tenesse ini.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.