Dengan slogan, Perlawanan Terhebat Dalam Sejarah, pertemuan di antara dua bintang veteran WWE iaitu Randy Orton dan Edge mencipta momen epik tersendiri di acara WWE Backlash yang bersiaran pagi tadi.

Tanpa sebarang taktik atau muslihat keji, kedua bekas Juara WWE mempersembahkan sebuah perlawanan gusti tradisional klasik dengan naratif rancak dan penuh aksi, biar pun durasi perlawanan agak panjang selama 50 minit yang melangkaui perlawanan Last Man Standing mereka di Wrestlemania pada April lalu.

Tambah menarik, perlawanan dimulakan dengan pengenalan oleh suara juruhebah gelanggang lagenda, mendiang Howard Finkel dengan mikrofon klasik MSG yang merujuk kepada arena terulung Madison Square Garden. Tidak cukup dengan itu, pengadil Charles Robinson turut mengenakan seragam pengadil klasik, seolah-olah perlawanan ini mengambil tempat di era awal 90 an.

Orton dan Edge membuktikan yang usia bukan penghalang untuk keduanya menyajikan aksi bertenaga. Tanpa lelah, The Viper dan bintang Rated R ini saling berbalas serangan demi serangan bagi melumpuhkan lawan masing-masing.

Rencah perlawanan tambah berperisa apabila pelbagai gerakan penyudah dan kunci submission bintang-bintang lagenda lain turut digunakan sebagai senjata berbisa. Crippler Crossface Chris Benoit, Three Amigos Eddie Guererro, Rock Bottom The Rock, Pedigree Triple H, Angle Slam Kurt Angle dan Unprettier milik Christian antara yang digunakan sebagai nilai tambah. Namun ia belum cukup ampuh untuk menundukkan kedua mereka.



Edge dan Orton turut menggunakan penyudah tipikal mereka iaitu rentapan leher RKO dan rempuhan bahu yang padu. Gerakan demi gerakan, serangan demi serangan bertali arus membuatkan barisan pelatih NXT yang menjadi penonton di WWE Perfomance Centre tidak cukup nafas tatkala menyaksikan drama pergelutan ini.

Tambah mendebarkan, Orton turut mengalami luka di kepala sehingga menyebabkan darah berjejeran. Ironinya, WWE memilih untuk tidak menyuntingnya walaupun polisi WWE selama ini tidak lagi membenarkan darah dalam setiap perlawanan di era PG ini.

Ternyata tuah menyebelahi Orton yang berdarah sejuk dan kejam. Dengan satu punt kick laju dari bucu gelanggang ke kepala Edge, tiga kiraan pin berjaya diperoleh The Viper sekaligus menimbal balik kekalahannya di Wrestlemania lalu.

Natijah daripada perlawanan hebat ini, Edge dilaporkan telah mengalami kecederaan yang agak serius di mana otot tricepnya terkoyak dan mungkin akan mengambil masa sehingga 8 bulan untuk proses pembedahan serta pemulihan.

Keputusan lain acara WWE Backlash:
1. Drew McIntrye pertahankan Kejuaraan WWE dengan menumpaskan Bobby Lashley, hasil gangguan Lana
2. The Miz dan John Morrison gagal memanfaatkan kelebihan dua lawan satu apabila tewas kepada Braun Strowman untuk Kejuaran Universal WWE
3. Asuka dan Nia Jax seri tanpa pemenang apabila keduanya gagal masuk ke gelanggang dalam tempoh 10 kiraan
4. Sheamus kalahkan Jeff Hardy
5. Sasha Banks dan Juara Wanita Smackdown Bayley kekal Juara Regu Wanita WWE apabila mengenepikan cabaran tiga penjuru daripada Alexa Bliss & Nikki Cross dan The IIconics
6. Apollo Crews pertahan Kejuaraan Amerika Syarikat dengan menewaskan Andrade di perlawanan Kickoff

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Extreme Rules pada 21 Julai depan serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.