Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif WWE, Vince McMahon nampaknya belum puas mendominasi dunia sukan hiburan melalui gusti profesional. Terkini, beliau maju selangkah lagi dengan menjual 3.34 juta sahamnya di WWE bernilai sekitar US$100 juta untuk terlibat dalam sukan American Football.

Penjualan saham ini merupakan antara langkah Vince untuk menyuntik dana ke dalam satu lagi entiti syarikat luar WWE yang diberi nama Alpha Entertainment. Namun saham yang dijualnya itu tidak akan sama sekali menjejaskan pegangannya selaku Pengerusi Lembaga Pengarah di WWE di mana beliau masih memegang 82.8% jumlah pegangan keseluruhan WWE. Dengan kata lain, Vince masih berkuasa dalam syarikat yang diasaskannya pada tahun 1979 itu.

Alpha Entertainment, LLC dilaporkan berfungsi sebagai sebuah syarikat yang akan meneroka pelbagai lapangan dalam bidang sukan dan hiburan, termasuk sukan American Football yang kini merupakan antara bidikan utama Vince.

Wartawan sukan ESPN, Darren Rovell turut mendedahkan yang Alpha Entertainment telah memfailkan lima nama tanda niaga (trademark) jenama XFL pada 16 Disember lalu termasuk beberapa lagi akronim dan slogan seperti URFL, United Football League, UFL dan “For the love of football”.


Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia akan memperlihatkan Vince berusaha kali kedua untuk terlibat dengan sukan antara yang paling popular di Amerika Syarikat itu di bawah jenama XFL, setelah gagal pada tahun 2001.



Setelah berjaya menundukkan pesaingnya World Championship Wrestling (WCW) sehingga berjaya menjadi taikun dalam industri gusti profesional, Vince ketika itu mungkin beranggapan yang beliau cukup kuat untuk menguasai pentas American Football pula melalui XFL, sebagai saingan kepada National Football League (NFL).

Di bawah jenama XFL, Vince bekerjasama dengan siaran televisyen NBC bagi memberikan alternatif kepada NFL. Namun sayang sekali kerana ia hanya sempat bersiaran untuk satu musim sahaja dan tidak diteruskan kerana jumlah tontonan (rating) yang agak mengecewakan serta tidak berapa diambil kisah oleh peminat American Football.



Tindakan ini wajar diberikan pujian kerana pada usia yang kini menginjak 70 tahun, Vince masih mempunyai wawasan besar untuk meluaskan lagi empayar perniagaannya. Mungkin atas faktor usia, Vince secara perlahan-lahan ingin melepaskan dominasi WWE kepada anak-anak dan menantunya iaitu Stephanie, Shane dan Triple H bagi meneruskan legasinya.

Batista berhasrat ingin kembali sepenuh masa



Bekas Juara Dunia WWE sebanyak 6 kali, Dave Bautista atau lebih dikenali sebagai Batista telah melahirkan hasrat untuk kembali ke WWE sepenuh masa tidak lama lagi.

Perkara ini didedahkan oleh Wrestling Observer Newsletter baru-baru ini yang menyatakan Batista, 49, ingin terlibat dengan WWE sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan atau setahun.

Batista dalam satu temubualnya bersama Jim Ross Podcast baru-baru ini turut menyatakan yang dirinya telah berbincang dengan Vince McMahon untuk kembali beraksi dan tidak hanya muncul sesekali di acara tertentu sahaja.

“Saya memang teringin sangat untuk kembali. Cuma satu sebab yang menghalang adalah saya tidak mahu hanya muncul sekali dan kemudian hilang.

Saya mahu kembali bergusti. Saya ingin terlibat dengan acara house show (perlawanan yang tidak disiarkan di TV), dan menjadi sebahagian dalam siaran mingguan WWE,” ujar bintang berdarah Greek dan Filipina ini.

Jika benar seperti apa yang dikatakannya, beliau mungkin terpaksa melupakan seketika kerjaya lakonan Hollywoodnya kerana jadual padat WWE tidak memungkinkan untuk beliau membahagikan masa untuk keduanya. Melainkan Batista menandatangani kontrak sepertimana Brock Lesnar dan John Cena, maka tidak mustahil untuk Batista terlibat dalam kedua-dua bidang yang disayanginya itu.

Batista yang juga mempunyai latar belakang dalam bidang seni pertahanan diri campuran (Mixed Martial Arts) mula menyertai WWE pada tahun 2002 dan berjaya menggondol beberapa kejuaraan utama di syarikat itu. Namun oleh kerana ingin melangkah ke dunia lakonan, ditambah rasa kurang setujunya dengan format PG yang diperkenalkan WWE pada tahun 2008, Batista tidak menyambung semula kontraknya pada tahun 2010.

The Animal telah membuat kemunculan semula pada awal tahun 2014. Namun kembalinya beliau tidak berapa direstui peminat yang ketika itu begitu menggilai Daniel Bryan, menyebabkan kemenangannya di acara Royal Rumble 2014 dicemuh sebahagian besar WWE Universe.



Terkenal melalui wataknya sebagai Drax dalam filem Marvel, Guardian Of The Glaxy, kembalinya Batista di WWE kelak perlu lebih berhati-hati agar sejarah 2014 tidak akan berulang.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.