Triple H perkuat Pasukan Raw; Strowman benam Kane ke bawah gelanggang

Oleh Hafiz Azwany Taher 15 November 2017 1261
Triple H perkuat Pasukan Raw; Strowman benam Kane ke bawah gelanggang
Acara WWE Survivor Series yang bakal bersiaran secara langsung pada 20 November ini di WWE Network, semakin hangat apabila perubahan demi perubahan dilakukan bagi memberi tarikan yang lebih mengujakan buat seluruh WWE Universe.

Tidak cukup dengan AJ Styles yang menjadi Juara WWE baharu minggu lepas seterusnya akan menggantikan tempat Jinder Mahal bagi mendepani Juara Universal WWE, Brock Lesnar, kini perlawanan lima lawan lima antara pasukan Raw dan Smackdown tambah panas apabila Ketua Pegawai Operasi WWE, Triple H sendiri akan masuk ke gelanggang dan menyertai pasukan yang dikepalai oleh Pengurus Besar Raw, Kurt Angle.

Jadual asalnya, pasukan Raw yang dibarisi Angle, Finn Balor, Samoa Joe, Braun Strowman dan anak kandung Angle, Jason Jordan. Namun pencalonan Jordan sebagai peserta kelima mengundang kritikan daripada peminat kerana dianggap masih hijau dan belum benar-benar layak untuk sebaris dengan nama besar Raw yang lain.

Pesuruhjaya Raw, Stephanie McMahon turut memperlekeh pemilihan Angle tersebut kerana menganggap ia adalah pencalonan yang bukan berdasarkan merit. Sebaliknya hanya kerana Jason adalah anak Angle dan ia mempunyai unsur favoritisma atau nepotisma.

Angle terpaksa mengubah perancangannya apabila Jason telah mengalami kecederaan lutut akibat dibelasah Bray Wyatt dalam perlawanan di Raw semalam. Ironinya, para penonton di Atlanta bersorak gembira dengan insiden tersebut sambil melaungkan sorakan “Terima kasih Wyatt” kerana berjaya mengesampingkan Jordan daripada pasukan Raw.




Jason Jordan walau bagaimana pun merayu kepada Angle agar namanya tidak disingkirkan. Ujarnya, ini adalah peluang keemasan seumur hidupnya dan berharap agar bapanya itu tidak menyingkirkannya.
Angle terpaksa mengumumkan secara langsung calon gentian pada segmen berikutnya.

Kelihatan Jason yang terjengket-jengket tempang turut muncul sekali lagi bagi membuat rayuan. Kurt yang masih ragu-ragu dan barangkali mempunyai rasa simpati kepada anaknya, walaubagaimana pun tidak dapat berlama-lama dalam gelanggang apabila muzik The Game bergema dan kelihatan Triple H berjalan masuk ke gelanggang.

Triple H dengan bengisnya memaklumkan yang ahli pasukan kelima Pasukan Raw adalah dirinya sendiri dan sebelum beredar, beliau sempat menghadiahkan gerakan penyudah Sepit Benam (pedigree) kepada Jason Jordan yang masih terpisat-pisat penuh kekeliruan.
 
Mengulas tentang penyertaannya dalam pasukan Raw ini, Triple H melalui catatan di Twitter menulis:
 
 
Pengumuman mengejutkan ini namun tidak mendatangkan rasa gusar kepada Pesuruhjaya Smackdown Live yang juga kapten pasukan biru, Shane McMahon. Menurut abang ipar Triple H itu, pasukan Raw tetap akan gugur kerana di dalam pasukan tersebut, setiap ahlinya mempunyai ego yang tinggi, kurang rasa penyatuan dan tidak fokus.
 
Berikut pula merupakan respon daripada rakan sepasukan Shane, Bobby Roode tentang mentornya di NXT itu:
 
Penyertaan Triple H ini kelihatan amat tepat pada masanya. Secara tidak langsung, ia akan membawa nostalgia belasan tahun lalu kerana Hunter, Kurt Angle dan Shane akan terlibat dalam perlawanan ini. Itu kita tidak cerita lagi tentang cabaran daripada bekas Juara Dunia 16 kali John Cena, Juara Dunia 13 kali Randy Orton, kegarangan Braun Strowman dan banyak lagi. Pasti saingan Raw lawan Smackdown kali ini begitu tinggi nilainya.

Ruang ini juga mungkin menjadi tempat pelepas ‘gian’ buat Triple H untuk kembali bergusti. Sejak menjawat jawatan penting di belakang tabir, amat jarang kita dapat menyaksikan Triple H bergusti. Kali terakhir beliau beraksi adalah di acara Wrestlemania pada April lalu dan turut bergusti di beberapa acara ‘live event’ semasa jelajah Eropah minggu lepas.



Tidak mustahil, penyertaan Triple H ini juga mungkin akan membuka ruang untuk membina sengketa antara dirinya dengan Kurt Angle. Kerana terdapat cakap-cakap yang Triple H akan menentang pemenang pingat emas Olimpik 1996 itu di acara Wrestlemania tahun depan.



Jika ia menjadi kenyataan, pasti memori awal 2000 ketika berlakunya perseteruan antara Angle dan Hunter akan terimbau kembali dengan menyaksikan Stephanie McMahon yang masih anak dara sunti ketika itu menjadi rebutan.

Kane terperosok ke dalam gelanggang



Kesumat Braun Strowman terhadap Kane terbalas di acara kemuncak Raw semalam. Setelah dikhianati oleh Jentera Merah Besar itu di acara TLC beberapa minggu lalu, Angle telah memberi restu kepada Strowman untuk bertemu Kane dalam perlawanan kemuncak Raw.

Apabila dua gergasi bertemu, kita boleh menjangkakan sesuatu yang mengejutkan pasti berlaku. Tidak cukup dengan penggunaan objek asing seperti kerusi besi, Strowman membuat mulut para penonton terlopong penuh terkesima apabila melakukan gerakan Hempasan Perkasa ke atas Kane, menyebabkan lagenda berusia 50 tahun itu terperosok dan terbenam ke dalam gelanggang.



Strowman turut membuktikan yang dirinya bukan raksasa biasa-biasa apabila siaran Raw tamat ke udara, beliau bangkit kembali dengan penuh kegagahan sambil menerima sorakan positif daripada para penonton.



Yang pasti, ahli-ahli pasukan Smackdown perlu runsing dengan amarah Strowman ini kerana jika tidak kena gaya, Shane, Orton, Nakamura, Roode dan Cena akan menerima padah yang sama di acara Survivor Series kelak.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Survivor Series 2017 pada 20 November ini dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 
 
 
 
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen