Siapa sangka Malaysia mampu melahirkan seorang ahli gusti wanita berbakat? Menggunakan gelaran Nor 'Phoenix' Diana di pentas pertunjukan, namanya tular selepas diangkat selaku sang juara dalam Kejohanan Malaysia Pro Wrestling-The Wrestleconi di ibu negara, minggu lalu.

Diana, 19, mencuri tumpuan bukan setakat atas kapasiti kemunculannya sebagai ahli gusti wanita, malah melakukan aktiviti lasak itu dengan berhijab.

"Saya sungguh gembira dan beremosi kerana tidak menyangka dapat memenangi tali pinggang ini.

"Dalam masa yang sama, saya berasa sangat bangga," katanya ketika ditemu bual dalam program Nadi@1, hari ini.

Bagi pemilik nama sebenar Syaradeeba Khamarulzaman itu, gusti tidak seperti sukan yang lain kerana mereka bukan setakat berlawan, malah seolah-olah perlu bercerita di atas gelanggang.

Tetapi, itu tidak bermakna perwatakannya akan terbawa-bawa di dunia realiti.

"Watak saya di atas dan luar gelanggang adalah berbeza.

"Saya seorang yang sangat pemalu di luar tetapi bertukar ganas dan aktif sebaik memasuki gelanggang. Phoenix menyasarkan kemenangan dan mendapat semangat daripada sorakan penonton.

"Phoenix adalah burung yang mati dan hidup semula. Seperti burung, ramai yang tidak menyangka kebolehan saya yang mempunyai fizikal kecil ini.

"Selepas melihat saya beraksi, barulah mereka terkejut dengan kemampuan saya, itulah yang menyebabkan saya berasa dekat dengan burung ini," kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Diana mengasah kemampuannya di Persatuan Gusti Malaysia (MyPW) selepas minatnya tercetus sejak berusia 14 tahun ekoran menemani adiknya dalam permainan video.

Ia mencetuskan minatnya sebelum mengambil inisiatif untuk mempelajari teknik latihan yang betul, dua tahun kemudian.

"MyPW kini mempunyai dua ahli gusti wanita, termasuk saya.

"Walaupun saya seorang wanita, tiada layanan istimewa diberikan jurulatih ketika berlatih," katanya.

Tambahnya, selepas tewas dalam satu aksi pertaruhan membuka topeng di Singapura, Disember lalu, ia satu senario bercampur-baur selain terbit kebimbangan yang akan mengundang kecaman.

"Saya berasa sedih kerana selama ini ia merupakan sebahagian daripada karakter Phoenix tetapi dalam masa sama, saya percaya ia membuka jalan baru buat saya.

"Saya berasa teruja dengan potensi masa depan," katanya.

Diana akan beraksi dalam kejohanan tempatan bulan ini selain aksi di Filipina, bulan depan.