Bekas Juara Wanita NXT, Shayna Baszler mengejutkan WWE Universe apabila kembali muncul di acara Raw semalam.

Bintang berusia 39 tahun itu tampil ketika perlawanan di antara Akira Tozawa dan Juara 24/7 R Truth yang baru sahaja hendak bermula, seterusnya merencatkan suasana ceria pada waktu itu. Dengan tegas, Baszler menyatakan yang masa untuk bintang-bintang Raw lain berseronok tanpanya telah tamat dan kini kesabarannya telah tiba ke penghujung.

Tambahnya, para bintang dan juara wanita yang ada di WWE hari ini hanya berilusi apabila menyangkakan bahawa mereka berjaya mengawal WWE. Dan kini dirinya tampil untuk menghancurkan ilusi tersebut dan membawa mereka semua kembali ke dunia realiti, kerana Baszler sendiri adalah realiti.


Kali terakhir anak jati Dakota Selatan ini muncul adalah di acara Raw pada 18 Mei lalu dengan menumpaskan Natalya dalam perlawanan Submission. Sejak itu, The Queen of Spade menyepikan dirinya seketika sehingga membuat para peminat tertanya-tanya tentang status diri dan kontraknya bersama WWE.

Sebagai individu yang mempunyai latar belakang seni bela diri campuran dan pernah dilatih oleh bekas jaguh UFC Josh Barnett, corak bergusti Baszler dikritik sesetengah pihak kerana terlalu keras dan boleh membahayakan penggusti lain.

Beberapa laporan turut menyebut yang Vince McMahon turut kurang berkenan dengan stail gusti Baszler, menyebabkan momentum kariernya sejak Wrestlemania lalu seakan terhenti. Jauh berbeza ketika beliau mendominasi arena NXT sebelum melompat ke roster utama awal tahun ini.



Dalam perkembangan lain, pasangan Kabuki Warriors gagal dalam usaha untuk merampas Kejuaraan Beregu Wanita daripada penyandang juara Sasha Banks dan Bayley di perlawanan kemuncak acara Raw semalam.

Biarpun tewas, mereka tetap tampil ceria ketika ditemubual di acara Raw Talk pasca siaran Raw berakhir. Menariknya, Kairi Sane mendedahkan yang dirinya bersedia untuk Asuka, sekaligus menghulurkan cabaran buat rakan regunya itu untuk mempertaruhkan kejuaraan milik Asuka sekiranya The Empress of Tomorrow berjaya mempertahankan kejuaraannya di The Horror Show at Extreme Rules Isnin depan.

Asuka nyata berbesar hati dengan cabaran tersebut dan menyatakan ia adalah perlawanan impian untuk dirinya. Sekiranya Asuka berjaya menewaskan Sasha Banks minggu depan, tidak mustahil Asuka dan Kairi Sane akan beraksi menentang satu sama lain tidak lama lagi.

Untuk rekod, kontrak Kairi bersama WWE juga dilaporkan akan tamat dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan bintang berusia 31 tahun ini ada menyatakan hasrat untuk tidak menyambung kontrak tersebut kerana ingin kembali ke negara asalnya Jepun bersama suami tercinta.

Jika benar, maka Asuka akan menjadi pilihan Kairi sebagai individu yang bertanggungjawab menghantarnya pulang dan bersara daripada gusti profesional di WWE.

Keputusan lain acara Raw:
1. Andrade & Angel Garza tumbangkan The Viking Raiders dalam perlawanan regu penyingkiran
2. Ruby Riott & Bianca Belair kalahkan The IIconics
3. Aleister Black kalahkan Murphy secara pembatalan DQ
4. Kevin Owens tumpaskan Seth Rollins
5. Randy Orton tundukkan R Truth
6. Bobby Lashley tewaskan Ricochet

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara Horror Show at Extreme Rules pada 20 Julai serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.