Shane McMahon perkenalkan WWE Raw Underground 

Oleh Hafiz Azwany Taher 5 Ogos 2020 409
Shane McMahon perkenalkan WWE Raw Underground 

Setelah beberapa bulan menyepi, Shane McMahon kembali muncul di acara Raw dengan mempersembahkan sebuah konsep baharu bagi memberi nilai tambah kepada persembahan acara Raw. 

Menamakannya sebagai Raw Underground, ia menampilkan konsep pertarungan terbuka tanpa undang-undang di mana sesiapa sahaja boleh naik ke gelanggang dan mencabar mana-mana lawan yang berhajat. Pemenang hanya dikira apabila pengadil mengesahkan salah seorang tidak terdaya untuk lagi untuk bertarung atau menyerah kalah. 

Dengan persekitaran ala-ala babak pertarungan dalam filem Fight Club, Raw Underground ini akan memberi peluang baharu buat beberapa bintang WWE yang tidak disenaraikan untuk perlawanan utama di Raw untuk turut sama muncul sekaligus mempamerkan keupayaan mereka beraksi dengan tangan kosong. 



Tambah menarik, ketika segmen kemuncak Raw semalam, trio yang menamakan diri mereka sebagai The Hurt Business iaitu Shelton Benjamin, Bobby Lashley dan ketua mereka MVP turut sama “menjajah” arena Raw Underground dan melampiaskan segala amarah mereka di gelanggang tersebut setelah kecewa kerana MVP tewas kepada Apollo Crews bagi perebutan Kejuaraan Amerika Syarikat, dan Shelton Benjamin pula terlepas Kejuaraan 24/7 kepada Akira Tozawa dalam perlawanan mereka sebelum itu. 



Konsep Raw Underground ini nyata menarik kerana ia seakan-akan mengulangi semula konsep perlawanan Brawl For All yang diperkenalkan WWE pada penghujung era 90an dahulu, dengan menampilkan perlawanan tempur ala seni pertahanan diri campuran (Mixed Martial Arts) dan sukan tinju. Namun ia hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja kerana beberapa kontroversi menyelubungi perlawanan tersebut, ditambah dengan reaksi yang bercampur baur daripada penonton. 

Dalam perkembangan lain, Seth Rollins mendapat pembalasan setimpal apabila teruk dibelasah dengan rotan kendo oleh Dominique Mysterio yang sebelum itu mencabarnya dalam perlawanan satu lawan satu di acara Summerslam hujung bulan ini. 

Bersama Murphy, The Monday Night Messiah terdahulu cuba menggertak pengulas Tom Phillips di tepi gelanggang yang dakwanya melakukan ulasan secara pilih kasih dan mengapi-apikan semangat kepada Dominique di siaran Raw yang lepas. Mujur Samoa Joe yang turut berada di meja pengulas bangun mempertahankan rakan  pengulasnya itu daripada menjadi mangsa korban Rollins dan balacinya Murphy. 



Setelah cabar mencabar, Joe diajak bertarung ke gelanggang. Namun kerusi besi di tangan kedua-dua bintang menjelikkan itu menyukarkan usaha Joe untuk naik ke atas. Ketika itulah, Dominique muncul dari belakang dan membelasah keduanya menggunakan senjata rotan kendo, selajur menyebabkan Rollins dan Murphy berundur dan Rollins sendiri akhirnya bersetuju untuk menerima cabaran Dominique di Summerslam. 

Keputusan lain di acara Raw semalam: 
1. Ruby Riott dan Liv Morgan kembali bersatu di dalam Riott Squad dan menewaskan The IIconics. 
2. Perlawanan di antara Juara Wanita Raw Sasha Banks dengan Shayna Baszler berakhir seri tanpa pemenang natijah daripada campur tangan Asuka yang menyerang Bayley di luar gelanggang. 
3. Angel Garza tumpaskan Juara Beregu Raw Angelo Dawkins 
4. Perlawanan di antara Andrade dan Juara Beregu Raw Montez Ford dihentikan apabila Ford tiba-tiba tumbang dipercayai akibat keracunan 

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Summerslam pada 24 Ogos serta kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go. 
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen