Serang AJ Styles, Jinder Mahal terima natijah

Oleh Hafiz Azwany Taher 4 November 2017 1003
Serang AJ Styles, Jinder Mahal terima natijah
Perlawanan juara lawan juara di antara Juara Universal WWE Brock Lesnar dengan Juara WWE Jinder Mahal di acara Survivor Series pada 20 November ini, mungkin tidak akan menjadi kenyataan apabila Jinder terpaksa mempertaruhkan kejuaraan miliknya kepada AJ Styles minggu hadapan.



Semuanya gara-gara tindakan Jinder yang tanpa belas kasihan membelasah AJ Styles di acara Smackdown Live minggu ini pasca perlawanan antara The Phenomenal dengan balaci Jinder, Samir Singh berakhir. Tidak berpuas hati dengan kekalahan anak buahnya, Jinder naik ke gelanggang dan bersama Sunil Singh yang juga telah tewas di tangan AJ minggu lalu, telah mengkeronyok AJ sehingga tidak berdaya.

Pesuruhjaya Smackdown Live, Shane McMahon nyata tidak bersetuju dengan perilaku jaguh berketurunan Punjabi tersebut. Justeru, melalui laman Twitternya, Shane telah membuat pengumuman mengejutkan yang mana Jinder perlu mempertahankan kejuaraan miliknya dengan AJ Styles di episode Smackdown Live minggu hadapan, yang akan bersiaran istimewa dari kota Manchester, United Kingdom.
 

Mengulas tentang pengumuman ini, Jinder berkata terdapat berbilion warga negara India yang akan sentiasa menyokong dan meyakini keupayaannya untuk bergelar juara. AJ hanya akan menjadi batu loncatan dan pemanas badan saja buatnya bagi persediaan untuk ‘menyembelih’ Brock Lesnar di acara Survivor Series kelak.
 

Bagi AJ pula, ini merupakan peluang keemasan buat kedua-dua pihak kerana Jinder mahu membalas dendam kepadanya dan dirinya pula amat menginginkan Kejuaraan WWE yang disandang Maharaja Moden itu. Tambah AJ lagi, kejayaan Jinder selama ini hanyalah kerana bantuan Singh Brothers yang sentiasa menurut perintah ibarat lembu dicucuk hidung. AJ berjanji akan merampas semuanya daripada Jinder termasuk kejuaraan dan legasinya. Seterusnya melangkah bergaya sebagai Juara WWE sebanyak dua kali ke Survivor Series dan menewaskan The Beast.
 

Perkembangan terkini amat menarik kerana ia menampakkan yang WWE juga seakan tidak yakin dengan kemampuan Jinder bagi mendepani Lesnar. Sebagai juara dan wakil utama jenama Smackdown Live, sudah tentu pihak atasan pasukan biru itu tidak mahu melihat juara mereka diperkotak-katik serta menjadi lauk belasahan oleh Brock Lesnar. Ia pasti akan menjatuhkan maruah mereka dan akan terus dilabel sebagai juara kelas bawahan di jenama kelas bawahan berbanding Raw.

Prognosis perlawanan antara Jinder dan Lesnar juga mudah dijangka. Walau dengan bantuan daripada Singh Brothers sekalipun, Lesnar pasti dengan mudah mampu meratah ketiga-tiga mereka. Apatah lagi jika Jinder dibiar berseorangan.

Tanpa menafikan kemampuan dan kredibiliti Jinder sebagai juara, penulis secara peribadi turut merasakan yang masanya belum tiba untuk Jinder berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Lesnar. Liga mereka jauh berbeza. Justeru tidak peliklah sekiranya penasihat kepada Lesnar, Paul Heyman turut memperlekehkan cabaran daripada Jinder tempoh hari. Nada yang berbeza berbanding lawan-lawan Lesnar yang lain sebelum ini seperti Goldberg, Samoa Joe dan Braun Strowman.

Susulan perubahan ini, perlawanan asal antara AJ Styles dengan Rusev bagi merebut tempat dalam pasukan Smackdown untuk cabaran lima lawan lima di Survivor Series juga mungkin akan terbatal. Rusev dilihat akan terus diserap masuk dan bergandingan dengan Randy Orton, Shinsuke Nakamura, Bobby Roode dan Shane O’ Mac sendiri sebagai kapten pasukan bagi berdepan dengan Kurt Angle, Braun Strowman dan tiga lagi wakil dari Raw yang masih belum dinamakan.


 
Dalam perkembangan berkaitan, Juara Regu Smackdown, The Usos juga berada dalam situasi yang sama dengan Juara WWE apabila mereka turut dikehendaki untuk mempertaruhkan kejuaraan mereka dengan pasangan Chad Gable dan Shelton Benjamin di acara Smackdown minggu depan.



Sekiranya mereka gagal dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan ini, pastinya hasrat mereka untuk beradu kehebatan dengan Juara Regu Raw, Dean Ambrose dan Seth Rollins di Survivor Series hanya akan tinggal impian.

Dipercayai bahawa pengumuman demi pengumuman besar oleh jenama Smackdown ini tidak lain dan tidak bukan kerana faktor jumlah tontonan (rating) rancangan tersebut yang merudum teruk sejak kebelakangan ini. Dan ia bukanlah sesuatu yang disukai oleh Vince McMahon.

Oleh itu, langkah produktif dan radikal perlu dilaksanakan bagi menggamit semula perhatian peminat untuk kembali menonton seterusnya menyaingi jenama Raw pada setiap malam Isnin.

Pada hemat penulis, ia sebenarnya amat mudah untuk dijangka. Penonton jelak melihat promo lesu oleh sang juara yang menampilkan suara serak basahnya dengan isi kandungan yang sama saban minggu. Tukarkan saja sang juara, nescaya peminat akan beroleh keterujaan semula untuk menonton.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Tentang Penulis

Hafiz Azwany Taher

Komen