Roman Reigns mencipta sejarah tersendiri apabila menobatkan dirinya dalam kelompok juara berganda di WWE setelah berjaya menewaskan The Miz seterusnya merampas Kejuaraan Antara Benua di acara kemuncak Raw semalam.

Setelah beraksi cemerlang dengan menundukkan ego The New Day di acara WWE Survivor Series kurang 24 jam sebelum itu, Roman meneruskan momentum dominasi apabila bijak memanipulasi The Miz ketika trio The Shield yang dianggotainya bersama Dean Ambrose dan Seth Rollins menjadi tetamu segmen Miz TV sebelum itu.

Menggunakan hujah kekalahan The Miz kepada Baron Corbin sehingga menyebabkan pasukan Raw kehilangan mata menjadi modal buat Roman untuk memperlekehkan The Miz. Tidak cukup dengan itu, Roman yang telah agak lama tidak mempunyai sebarang bengkung kejuaraan berharga di bahunya, memicingkan pandangannya kepada bengkung Kejuaraan Antara Benua milik The Miz, selajur mencabar suami kepada Maryse itu untuk mempertaruhkan kejuaraannya.

Anak buah Miz, Curtis Axel dan Bo Dallas cuba menghalang. Namun menerima padah seperti dikeronyok serigala lapar apabila Shield menyerang kedua mereka meninggalkan Miz terpaku pasrah tidak berdaya.

Pengurus Besar Raw, Kurt Angle memberi lampu hijau dengan mengumumkan secara rasmi perlawanan antara Miz dan Roman di perlawanan utama, walaupun mendapat tentangan daripada Miz.

Seperti dijangka, Miz yang sebelum ini licik dengan bantuan Miztourage, agak tempang dalam mendepani Roman keseorangan. Namun The A Lister masih mampu bertahan dan memberikan serangan demi serangan untuk mematahkan keampuhan Roman.



Tidak cukup dengan itu, sekutunya iaitu Juara Regu Raw, Sheamus dan Cesaro turut muncul menghulurkan bantuan. Namun perancangan penuh tipu daya Miz tidak menjadi apabila Rollins dan Ambrose muncul untuk menghalang segala kerja jahat pasukan The Bar yang ingin mengganggu perlawanan.

Di kala fokus Roman terganggu, Miz mengambil peluang ini dengan menghadiahkan gerakan penyudah Pemecah Tengkorak (Skull Crushing Finale) dari belakang Roman. Walau bagaimana pun, ia belum cukup untuk menundukkan The Big Dog.



Satu rempuhan bahu kuat disusuli tidak lama kemudian menyebabkan Miz terpaksa berputih mata dan terlepas kejuaraan yang dimilikinya itu kepada Roman.

Mengulas tentang kejayaannya, Roman ketika ditemubual pasca Raw berkata yang dirinya kini adalah juara berganda (Grand Slam champion). Mengakui yang pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya untuk ke tahap ini, namun dengan semangat yang jitu dan konsistensi yang tidak mengenal jemu, segalanya mampu dikecapi.




Roman turut berterima kasih kepada para peminat yang teguh menyokongnya selama ini. Beliau turut menegaskan yang dirinya akan membuat cabaran terbuka kepada sesiapa sahaja di Raw minggu hadapan bagi merampas kejuaraan yang baru disandangnya itu.

Untuk rekod, Roman merupakan individu ke 17 yang berjaya bergelar Juara Grand Slam di WWE. Ia merupakan sebuah gelaran berprestij buat seorang bintang yang telah berjaya menggondol semua kejuaraan pelbagai peringkat di WWE iaitu Kejuaraan Dunia, Antara Benua, Amerika Syarikat dan tidak terkecuali, Kejuaraan Regu.

Bintang lagenda, Booker T turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Roman dan mengalu-alukan penyertaan The Big Dog ke dalam kelab Juara Grand Slam yang juga pernah dianggotai nama-nama besar seperti Edge, Daniel Bryan, Shawn Michaels, Kurt Angle, Eddie Guererro, Chris Jericho, Big Show, Triple H dan ramai lagi.



Bagi The Miz pula, dirinya umpama bagai jatuh ditimpa tangga. Tidak cukup dengan kekalahan dan terlepas kejuaraan, malah dirinya turut menerima pengajaran yang paling mahal apabila menerima hempasan ke atas meja pengulas oleh The Sheild sebaik sahaja siaran Raw tamat ke udara.



Susulan insiden ini, Miz dijangka akan berehat seketika daripada muncul di WWE bagi menjalani pemulihan serta terlibat dengan siri penggambaran filem sekuel The Marine. Tidak terkecuali, membuat persediaan untuk kelahiran anak pertamanya bersama Maryse beberapa bulan akan datang.

Paige kembali dengan penuh amarah

Bekas Juara Wanita NXT dan Juara Diva WWE, Paige mengejutkan WWE Universe apabila kembali membuat kemunculan di acara Raw semalam.



Setelah para peminat kempunan untuk menyaksikan gadis manis berusia 25 tahun beraksi di acara WWE Survivor Series, tiada siapa menyangka yang beliau akan menyertai divisyen wanita Raw setelah dispekulasi akan menyertai jenama Smackdown sekembalinya.

Paige muncul ketika perlawanan empat penjuru bagi menentukan calon pencabar utama Kejuaraan Wanita Raw melibatkan Mickie James, Sasha Banks, Bayley dan Alicia Fox sedang rancak berlangsung. Ketiadaannya sejak tahun lalu di arena WWE kerana dihambat kecederaan dan perlanggaran polisi kesihatan WWE nyata begitu dirindui peminat dan mendapat sorakan positif dari segenap arena.

Ingin keluar daripada bayangan watak suka ramai sebelum ini, Paige kali ini muncul dengan sifat lebih agresif. Menyatakan yang dirinya tidak keseorangan, beliau turut membawa bersama dua bintang wanita baharu dari NXT iaitu Mandy Rose dan Sonya Deville bagi menggegar divisyen wanita Raw.
Semua peserta mendapat habuan masing-masing apabila Paige dan anak didiknya melakukan serangan. Tidak cukup dengan itu, Juara Wanita Raw, Alexa Bliss turut menerima bahana yang sama apabila diserang di belakang tabir bagi menunjukkan yang Paige kini adalah ancaman besar untuk kejuaraan yang dimilikinya.
Dengan penyertaan Paige, Rose dan Deville, saingan semakin sengit di divisyen wanita Raw. Tanpa mengenepikan Asuka yang cemerlang memastikan kemenangan pasukan wanita Raw di Survivor Series, Bliss sudah pasti berasa gundah di hati kerana tidak lagi boleh mendabik dada dan selesa tanpa pencabar.

Bukan itu sahaja, penyertaan Paige dan sekutunya ke Raw pasti memberi kesan kepada jenama pesaing di Smackdown Live. Sudah tentu Smackdown juga memerlukan muka baharu untuk menyaingi persaingan sengit di Raw. Justeru, beberapa rekrut baharu wanita perlu dilakukan oleh Shane McMahon dan Daniel Bryan seperti membawa masuk bintang dari NXT atau beberapa nama dari Kejohanan Mae Young Classic beberapa bulan lalu ke jenama mereka.

Apapun, semoga penyertaan semula Paige ke WWE akan membawa sinar baharu buat gadis kelahiran Norwich, England ini setelah dibelenggu siri kontroversi sejak tahun lalu sehingga menyebabkan dirinya mengalami masalah depresi yang membimbangkan seluruh peminat dan ahli keluarganya.

Jika Paige kekal fokus dan sanggup melangkah ke depan seterusnya melupakan segala episod hitam yang pernah melandanya sebelum ini, pasti kejayaan akan kembali mengiringinya dan tidak mustahil menjadi bintang wanita yang digeruni lawan serta dikagumi kawan di masa akan datang.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.