WWE terpaksa merombak semula segala perancangan dan jadual yang telah direncanakan untuk acara WWE TLC pada Isnin ini berikutan beberapa bintang utamanya didapati tidak cukup sihat untuk beraksi kerana dijangkiti penyakit berjangkit.

Roman Reigns dan Bray Wyatt antara dua nama yang terpaksa dikesampingkan dan bintang lain akan menggantikan tempat mereka kelak.

Para WWE Universe nampaknya kempunan untuk menyaksikan trio The Shield kembali beraksi bersama untuk mendepani lima lawan mereka iaitu Juara Antara Benua The Miz, Cesaro & Sheamus, Braun Strowman dan Kane yang membuat kemunculan mengejut dari bawah gelanggang pada siaran Raw yang lalu.

Namun hikmah daripada segala apa yang berlaku ini adalah Kurt Angle yang merupakan Pengurus Besar Raw waktu ini akan menyarung but kembali untuk beraksi menggantikan tempat Roman. Ini secara langsung akan menjadi medan untuk para peminat Angle menyaksikan Angle kembali di gelanggang WWE setelah kali terakhir bertempur pada tahun 2006 yang lalu.

Pengumuman mengejutkan ini amat mengujakan dan ia turut dikongsi oleh Angle sendiri melalui laman Instagramnya.

Is it true??? Oh It's damn true! Your Olympic Hero will be wrestling along side of The Shield at #TLC this Sunday. Be sure to watch. #yourolympicheroisback

A post shared by Kurt Angle (@therealkurtangle) on

Perlawanan kemuncak antara lapan bintang utama Raw ini pastinya akan menjanjikan pertembungan yang sengit kerana menurut beberapa sumber dalaman WWE, ia akan menjadi sebuah perlawanan yang berdurasi agak panjang daripada biasa.

Hasrat kita untuk menyaksikan karakter Sister Abigail juga tidak kesampaian apabila Bray Wyatt yang telah dijadualkan untuk bertemu Finn Balor untuk kali keempat dalam sisi lain turut disahkan tidak sihat dan tidak diberikan kebenaran untuk beraksi.

Tempat Bray walau bagaimana pun mendapat calon ganti yang tidak kurang hebatnya. Bintang Smackdown Live, AJ Styles akan menggantikan tempat Wyatt. Justeru, kita akan menyaksikan pertempuran buat pertama kali antara AJ dan Balor yang mana kedua-duanya juga merupakan mantan pemimpin pasukan Bullet Club semasa di New Japan Pro Wrestling beberapa tahun lalu sebelum menyertai WWE.



Perlawanan adhoc ini telah mendapat respon positif daripada AJ sendiri yang mana beliau bertekad tidak akan mensia-siakan peluang ini bagi membuktikan kehebatan jenama Smackdown Live.
Penyakit berjangkit yang sedang tular di kalangan bintang WWE ini dipercayai ada kaitan dengan meningitis, satu penyakit radang pada saraf otak yang amat berbahaya dan akan mengundang prognosis buruk jika tidak mendapat rawatan awal.

Bo Dallas yang merupakan adik sebenar Bray Wyatt merupakan bintang yang mula-mula didiagnosis menghidap penyakit ini. Ia kemudian diikuti Wyatt menyebabkan The Eater Of World itu terlepas untuk muncul secara langsung di acara Raw sejak dua minggu lalu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, pasukan perubatan WWE telah menjalankan pemeriksaan perubatan yang menyeluruh ke atas semua bintangnya menjelang acara WWE TLC ini. Tanpa memberikan butiran lebih lanjut, Roman, Wyatt dan Bo terpaksa dikuarantin agar penyakit ini tidak merebak kepada orang lain.

Perlawanan lain yang akan berlangsung di acara WWE TLC kelak adalah:

1. Alexa Bliss (juara) lawan Mickie James untuk Kejuaraan Wanita Raw

2. Kalisto (juara) lawan Enzo Amore untuk Kejuaraan Cruiserweight WWE

3. Sasha Banks lawan Alicia Fox

4. Cedric Alexander & Rich Swann lawan Jack Galaggher & Brian Kendrick

5. Emma lawan Asuka dalam perlawanan sulung bintang wanita Jepun ini di roster utama Raw

Acara WWE TLC (Tables, Ladders and Chairs) akan bersiaran secara langsung pada jam 8.00 pagi, Isnin, 23 Oktober ini secara eksklusif di rangkaian WWE Network (saluran 820 / 840 HD).


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.